
Cliff Umar tiba di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini bagi menghadapi tuduhan memiliki dadah. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM: Penyanyi Cliff Umar mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan memiliki dadah Ahad lepas.
Cliff Umar atau nama sebenarnya Abdullah Umar Joseph, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Sasha Diana Sabtu.
Juara sebuah program realiti hiburan itu didakwa memiliki dadah dipercayai heroin seberat 0.39g di tepi Jalan Persiaran Kewajipan, Subang Jaya, dekat sini pada 3.30 petang 26 Mei lepas.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Annur Athirah Amran menawarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam Sallehuddin Salam yang mewakili Cliff Umar merayu jaminan rendah kerana tertuduh menanggung isteri dan empat anak masih bersekolah, selain pendapatan sebagai ahli muzik tidak menentu.
Mahkamah membenarkan jaminan RM3,300 dengan seorang penjamin dan menetapkan 31 Julai ini untuk sebutan semula kes bagi serahan laporan kimia.