Selagi Umno ada Zahid, nafsu PAS-Bersatu jadi dominan takkan lunas, kata Puad

Ahli MKT Umno Puad Zarkashi berkata, PAS bimbang keberadaan Umno dalam kerajaan memberikan peluang parti itu dilihat lebih berfungsi memperjuangkan kepentingan orang (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: PAS dan Bersatu sedar selagi Zahid Hamidi memimpin Umno, mereka tidak akan berjaya menjadi dominan untuk membentuk kerajaan, menurut seorang pemimpin Umno.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Puad Zarkashi berkata, pemimpin Perikatan Nasional (PN) menolak Zahid kerana khuatir kedudukan Umno dalam kerajaan perpaduan semakin kukuh.

“Zahid kunci Umno makin kukuh dalam kerajaan. Maka, makin rumit menguburkan Umno,” katanya kepada FMT.

“Selagi Zahid ada, selagi itu usaha memecah-belahkan Umno dalam kerajaan akan gagal. Maka nafsu PAS untuk jadi dominan juga akan gagal. Realitinya, PAS akan ‘bunuh’ Bersatu.”

Terdahulu, dalam temu bual eksklusif dengan FMT, veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah menyeru parti itu agar mengajak orang Melayu kembali ke pangkuannya, serta ahli parti politik serpihannya seperti Bersatu dan PAS, bersatu semula bawahnya.

Katanya, perpecahan yang membawa kepada penubuhan pelbagai parti melemahkan pengaruh politik kolektif orang Melayu.

Sebagai respons, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Rafiq Abdullah berkata, orang Melayu tidak mahu ikut Umno disebabkan sokongan Zahid kepada DAP.

Menurutnya, Bersatu hanya akan bekerjasama dengan parti Melayu terbesar itu jika Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berundur daripada memimpin Umno.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Awang Hashim kemudian berkata, Tengku Razaleigh membuat seruan sedemikian kerana tahu Umno akan ‘tenggelam’ pada pilihan raya akan datang

Beliau turut menolak andaian orang Melayu menyokong PN disebabkan ‘kerosakan’ Umno. Sebaliknya, katanya, pengaruh dan sokongan terhadap PAS-Bersatu semakin kuat hasil rekod pemerintahan Perikatan Nasional (PN) selepas PRU14.

Mengulas kenyataan Awang merujuk Umno sebagai ‘koyak rabak’, Puad yang juga Adun Rengit berkata, kes rasuah melibatkan anak Menteri Besar Perlis Shukri Ramli daripada PAS menunjukkan pekong parti itu semakin terdedah.

“Apa yang berlaku di Perlis, bukti PAS tidak boleh diharap. Pekong PAS makin terdedah. PAS hanya mahir menunggang agama,” dakwanya.

“PAS bimbang, apabila Umno duduk balik dalam kerajaan, ia beri ruang Umno dilihat berfungsi, tolong orang Melayu, jaga maslahah orang Melayu, Islam dan bangkit semula.

“Itu sebab PN cari jalan supaya Umno keluar daripada kerajaan Madani, antaranya dengan memainkan isu Zahid dan DAP,” katanya.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *