Draf MoU berkait peruntukan pembangkang belum muktamad

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata draf MoU berkait peruntukan Ahli Parlimen pembangkang belum dimuktamadkan.

PUTRAJAYA: Kerajaan masih belum memuktamadkan draf perjanjian persefahaman (MoU) berkait penyaluran peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang, kata Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.

“Kalau ada perkembangan saya akan maklumkan. Belum ada perkembangan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan kebangsaan Pengurusan Air Larian Hujan (SWaM).

Beliau sebelum ini dilaporkan berkata draf tersebut akan diserahkan kepada majlis tertinggi semua parti politik kerajaan dan pembangkang sebaik ia dimuktamadkan.

Antara isi kandungan draf tersebut termasuklah mengelakkan menyentuh perkara yang boleh menyebabkan perpecahan, seperti isu membabitkan raja, bangsa dan agama (3R), katanya.

Kandungan draf itu juga antara lain memberi fokus supaya semua Ahli Parlimen bersama-sama membangunkan dan memulihkan ekonomi dan memastikan kestabilan.

Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang dipengerusikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini pada dasarnya bersetuju untuk mengagihkan peruntukan kepada semua Ahli Parlimen pembangkang namun memerlukan draf MoU dirangka terlebih dahulu.

Anwar juga memberi jaminan MoU berkenaan tidak menyatakan menyokong perdana menteri akan dijadikan syarat membolehkan pembangkang menerima peruntukan.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *