Usah ketagih guna undang-undang bendung pendapat luar kotak

Hak bersuara dan meluahkan pendapat sebahagian daripada hak asasi semua manusia. Ia harus dihormati, dihargai, dan dilindungi pada setiap masa. Sebarang perbezaan pendapat, pandangan atau pemikiran harus diselesaikan melalui proses dialog, perbincangan, dan perdebatan dan bukannya melalui saluran atau proses undang-undang.

Semenjak akhir-akhir ini terdapat trend baru yang muncul di dalam masyarakat kita yang amat gemar untuk menggunakan saluran undang-undang terhadap pendapat, pandangan, atau pemikiran yang mereka tidak suka. Selalunya pendapat, pandangan, atau pemikiran ini memiliki unsur mencabar minda serta berada di luar kotak. Individu yang tidak dapat menerima pendapat, pandangan, atau pemikiran yang mencabar minda dan berada di luar kotak ini sanggup membazirkan masa dan tenaga membuat laporan pada pihak berkuasa dengan harapan supaya satu bentuk tindakan undang-undang dapat diambil terhadap pihak yang berkaitan. Sekiranya trend sebegini dibiarkan, masyarakat kita akan menjadi masyarakat penakut serta tidak mampu untuk berfikir lagi. Akhirnya kita akan melahirkan sebuah masyarakat yang bodoh dan yang hanya tahu bercakap untuk memuaskan hati semua pihak sahaja. Masyarakat akan menjadi mundur dan negara kita akan menjadi lemah.

Sampai bila kita hendak menggunakan saluran undang-undang untuk menyelesaikan isu sebegini? Adakah kita amat takut untuk melakukan proses dialog, perbincangan, dan perdebatan? Sampai bila kita hendak menutup mulut orang ramai serta mengekang kebebasan bersuara dan meluahkan pendapat mereka? Kebebasan bersuara dan meluahkan pendapat sebahagian daripada prinsip hak asasi manusia sejagat dan ianya juga termaktub dibawah Perlembagaan Persekutuan. Kebebasan bersuara dan meluahkan pendapat tidak perlu dilihat sebagai ancaman ataupun musuh pada setiap masa. Ianya juga tidak wajar disekat.

Walaupun orang ramai sering diseru menggunakan kebebasan bersuara dan meluahkan pendapat yang diberikan kepada mereka dengan baik dan penuh tanggungjawab, pihak berkuasa dan pemerintah juga perlu memainkan peranan untuk memastikan hak asasi setiap rakyat untuk bersuara dan meluahkan pendapat terus dihormati dan dilindungi. Kebebasan untuk bersuara dan meluahkan pendapat penting untuk setiap manusia kerana melaluinya seseorang individu itu dapat melakukan pelbagai perkara seperti mempertahankan diri sendiri, membantu masyarakat sekeliling serta memajukan negara. Agak sukar untuk seseorang individu, masyarakat, dan negara untuk maju dan bergerak ke depan sekiranya hak mereka untuk bersuara dan meluahkan pendapat tidak dihormati.

Setiap manusia dilahirkan unik dan berbeza dengan memiliki pelbagai ragam, pandangan, dan pemikiran. Setiap keunikan dan perbezaan ini sekaligus melahirkan pelbagai jenis pemahaman dan pendapat yang berbeza antara satu sama lain. Pemahaman dan pendapat yang berbeza ini seharusnya didengari, dinilai, dan dipertimbangkan untuk digunakan bagi membantu masyarakat dan negara untuk bergerak ke depan demi manfaat dan kebaikan semua pihak. Sekiranya kita mewujudkan pelbagai jenis undang-undang baharu ataupun menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada bagi mengekang kebebasan orang ramai untuk bersuara serta meluahkan pendapat ia dibimbangi boleh membantutkan kemajuan dan pembangunan negara.

Kebebasan setiap orang bersuara dan meluahkan pendapat ini sebahagian daripada hak asasi setiap manusia. Artikel 19 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 (UDHR) memperuntukan dengan jelas kebebasan setiap manusia di serata dunia untuk bersuara bagi meluahkan pandangan dan pendapat mereka. Penting juga untuk kita ketahui, kebebasan individu untuk bersuara dan meluahkan pendapat juga penting bagi mengekalkan semangat demokrasi yang telah lama diamalkan dalam negara kita iaitu semenjak negara kita mencapai kemerdekaannya pada 1957.

Seperti yang telah dinyatakan, hak setiap rakyat untuk bersuara juga jelas termaktub dan dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan. Bahagian II dalam Perlembagaan Persekutuan memperuntukan dengan jelas mengenai kebebasan asasi setiap warganegara. Salah satu bentuk kebebasan asasi yang jelas dilindungi adalah kebebasan setiap rakyat untuk bercakap, berhimpun, dan berpersatuan seperti yang jelas terkandung di dalam Perkara 10(1) Perlembagaan Persekutuan. Setiap jenis kebebasan termasuk kebebasan untuk bersuara dan memberi pendapat adalah asas kepada kewujudan demokrasi serta ianya penting bagi menjamin serta melindungi maruah setiap diri manusia itu sendiri serta menjamin kemajuan dan pembangunan negara.

Tidak dapat dinafikan setiap jenis hak asasi yang diperuntukan termasuk kebebasan untuk bersuara dan meluahkan pendapat tidak bersifat mutlak. Walaupun kebebasan untuk bersuara dan memberi pendapat ini boleh dihadkan, namun ia tidak bermakna pihak pemerintah boleh merangka sebarang jenis undang-undang bagi menutup terus kebebasan setiap rakyat untuk bersuara dan memberi pendapat ataupun menggunakan sebarang jenis peruntukan undang-undang sedia ada bagi mengekang hak setiap rakyat untuk bersuara dan meluahkan pendapat mereka.

Hak orang ramai untuk bersuara dan memberi pendapat mesti diberi keutamaan supaya setiap orang tidak merasakan diri mereka dipinggirkan atau disisihkan dalam kemajuan dan pembangunan negara. Semua pihak harus berani mendengar setiap rintihan dan luahan hati setiap orang walaupun ia merupakan satu proses yang sukar dan berat untuk dilakukan. Setiap pandangan harus didengari dan difahami dengan baik.

Sekiranya terdapat sebarang perbezaan pendapat, proses dialog, perbincangan, dan perdebatan perlu dilakukan supaya semua pihak yang terlibat dapat memahami dengan lebih baik apa yang ingin disampaikan oleh mereka serta mencari langkah penyelesaian yang sesuai terhadap sebarang isu ataupun masalah.

 

Muzaffar Syah Mallow adalah profesor madya di Fakulti Syariah & Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *