Tujuh ditahan disyaki tipu produk kesihatan guna gambar video individu terkenal

Tujuh ditahan disyaki tipu produk kesihatan guna gambar video individu terkenal

KUALA LUMPUR: Tujuh individu termasuk dua warga asing ditahan di sekitar Selangor pada Selasa hingga Jumaat lepas kerana disyaki terlibat dengan sindiket cubaan menipu memasarkan produk kesihatan menggunakan gambar dan video milik individu terkenal.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata daripada tujuh individu, empat daripada suspek iaitu tiga lelaki dan seorang wanita yang berusia 30 hingga 38 tahun ditahan dalam empat serbuan di Shah Alam pada 21 dan 22 Mei.

“Dua daripada yang ditahan adalah pengarah syarikat manakala dua yang lain adalah pegawai pemasaran dan ahli perniagaan.

“Polis turut merampas antaranya 18 kotak produk rawatan mata pelbagai jenama, empat bungkusan produk rawatan pelbagai jenama, satu laptop dan sebuah telefon bimbit.

“Pada 24 Mei pula, tiga lagi individu berusia 33 hingga 51 tahun ditahan iaitu seorang lelaki warga tempatan, seorang lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita warga Vietnam melalui serbuan susulan yang dijalankan sekitar Klang, Selangor,” katanya dalam sidang media di Menara KPJ, di sini hari ini.

Ramli berkata pihaknya turut merampas antaranya enam kotak produk rawatan mata, sekotak cermin mata, satu unit pencetak dan tiga unit telefon bimbit.

Beliau berkata berdasarkan laporan yang diterima, sindiket ini didakwa telah menggunakan gambar dan video pengadu yang juga merupakan seorang pakar perubatan terkenal bagi mempromosikan produk kesihatan sindiket tersebut.

Jelasnya, perkara ini hanya diketahui pengadu apabila beliau dihubungi oleh beberapa individu lain bagi mendapatkan pengesahan berkenaan kesahihan produk yang diiklankan.

“Pengadu seterusnya melihat iklan yang dimaksudkan dan mengesahkan bahawa produk kesihatan tersebut tiada kaitan dengan syarikatnya.

“Penggunaan gambar dan video dipercayai tanpa kebenaran pengadu sebagai bahan promosi produk terbabit adalah bagi tujuan memperdaya orang ramai,” katanya.

Beliau berkata empat individu yang ditahan dalam serbuan pertama telah dibebaskan dengan jaminan polis manakala dua individu warga asing yang ditahan dalam serbuan susulan direman selama dua hari (reman pertama) dan disambung dua hari (reman kedua).

“Seorang lagi individu warga tempatan (dari serbuan susulan) direman tiga hari sehingga hari ini. Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sebagai langkah pencegahan, Ramli menasihati orang ramai agar sentiasa berhati-hati dalam pembelian produk kesihatan secara dalam talian.

“Melalui kes ini, dapat dilihat bagaimana sindiket penipuan semakin berani menggunakan gambar serta video individu terkenal bagi memberi gambaran bahawa produk mereka mempunyai kaitan dengan individu yang dipaparkan.

“Lebih malang, produk yang dipasarkan adalah palsu dan penggunaan produk tersebut dikhuatiri boleh memudaratkan kesihatan pengguna,” katanya.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *