Status wakil rakyat bukan syarat wajib jadi pemimpin PKR, jelas ahli MPP

PKR semalam mengumumkan perubahan ketua negeri seperti Pahang, Terengganu, Kelantan, Johor, Wilayah Persekutuan, dan Sabah.

PETALING JAYA: Menjadi wakil rakyat bukan syarat wajib untuk dipilih sebagai pemimpin PKR, menurut seorang ahli majlis pimpinan pusat parti itu.

Yahya Mat Sahri berkata PKR akan mengambil masa untuk merombak kepimpinan negeri memandangkan Presiden Anwar Ibrahim perlu mendapatkan maklum balas para ketua bahagian, selaras amalan demokrasi parti itu.

Justeru, beliau menolak dakwaan PKR ketandusan pelapis seperti yang dipercayai oleh penganalisis.

“Dari dulu kita mempunyai pemimpin bukan dalam kalangan wakil rakyat, bukan menteri, bukan exco negeri. Jadi bukan isu besar apabila bukan wakil rakyat dilantik sebagai ketua asalkan individu itu boleh bekerja dengan baik,” katanya kepada FMT.

“Kita tak pernah ketandusan dari sudut calon pelapis yang nak dilantik cuma proses itu ambil masa sebab presiden perlu jumpa setiap ketua bahagian di negeri-negeri sebelum memuktamadkan keputusan.”

Semalam, Rusdi Omar dari Universiti Utara Malaysia berkata rombakan kepimpinan PKR di beberapa negeri sukar dibuat kerana parti itu kekurangan pemimpin pelapis, terutama dalam kalangan rakyat rakyat.

Beliau berkata masalah itu dapat dilihat di negeri yang parti itu tidak mempunyai ramai wakil rakyat seperti Melaka, Johor, Kelantan, Terengganu, dan Pahang, serta Sabah dan Sarawak.

Semalam, PKR mengumumkan perubahan ketua negeri seperti di Pahang, yang menyaksikan Fuziah Salleh menggantikan Amirudin Shari; serta Suparadi Md Noor dan Ahmad Nazri Yusof masing-masing menggantikan Nik Nazmi Nik Ahmad di Kelantan dan Terengganu.

Selain itu, Syed Ibrahim Syed Noh dan Azman Abidin masing-masing menggantikan Rafizi Ramli di Johor dan Wilayah Persekutuan; manakala Mustapha @ Mohd Yunus Sakmud menggantikan Sangkar Rasam di Sabah.

Yahya menjelaskan bahawa sebelum ini pemimpin tinggi daripada PKR pusat menggalas jawatan ketua-ketua negeri sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum lalu.

“Kini presiden telah menyusun semula supaya pengerusi negeri kembali kepada kepimpinan negeri masing-masing,” katanya. “Semalam presiden umum semua senarai kepimpinan negeri yang mempunyai pengerusi baharu dalam mesyuarat MPP.”

Dalam pada itu, Yahya menolak anggapan bahawa Ketua Pemuda Adam Adli dan Ketua Wanita Fadhli Sidek gagal berfungsi sebagai ketua sayap sejak masing-masing menjadi timbalan menteri dan menteri.

“Cuma bila kita jadi kerajaan mereka perlu mengimbangi tugas dalam kerajaan dan tugas sebagai pemimpin parti,” katanya.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *