Terbuka bincang hasrat PAS tanding 7 penentang Bersatu, kata Kiandee

Ronald Kiandee berkata hasrat PAS untuk bertanding tujuh kerusi Bersatu yang disuarakan Hashim Jasin akan dibincangkan dalam mesyuarat pimpinan tertinggi PN.

PETALING JAYA: Seorang pemimpin Bersatu berkata mengikut prinsip Perikatan Nasional (PN) parti penyandang kerusi diutamakan untuk dikekalkan bertanding pada PRU atau PRK.

Namun, Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee berkata hasrat PAS mahu bertanding di enam kerusi Parlimen dan satu kawasan DUN jika berlaku PRK membabitkan kerusi milik Bersatu yang menyatakan sokongan kepada kerajaan terbuka dibincangkan.

Enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim ialah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abu Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Adun Selat Klang Abdul Rashid Asari pula menyatakan sokongan kepada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Kiandee berkata hasrat PAS yang disuarakan Mursyidul Am Hashim Jasin akan dibincangkan dalam mesyuarat pimpinan tertinggi PN dalam masa terdekat.

Menurutnya, tidak salah untuk mana-mana pihak menyuarakan hasrat namun perlu dibincang dan diputuskan pucuk pimpinan.

“Dari segi kelazimannya kita berpegang kepada prinsip (keutamaan pencalonan diberikan kepada parti) penyandang kerusi,” katanya menurut Sinar Harian.

Mengikut Perlembagaan Bersatu, enam Ahli Parlimen dan seorang Adun Bersatu yang menyatakan sokongan pentadbiran kerajaan perpaduan itu berisiko untuk dilucutkan keahlian yang sekali gus memerlukan mereka mengosongkan kerusi untuk memberi laluan kepada PRK.

Pada 17 Mei lalu, Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin berkata wakil rakyatnya termasuk enam Ahli Parlimen dan seorang Adun berpaling tadah diberi tempoh 14 hari menjawab ‘surat arahan’, antara lain mengarahkan mereka tidak menyokong Anwar.

Bagaimanapun, Suhaili mendakwa beliau telah menerima surat keahliannya diberhentikan dan dituntut untuk mengosongkan kerusi.

Namun beliau enggan melayan tuntutan itu dan mahu menjadi Ahli Parlimen bebas.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *