
Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB), yang mengoperasikan lapangan terbang utama negara akan diambil alih syarikat milik kerajaan, Khazanah Nasional. (Gambar KLIA)
PETALING JAYA: Dana kedaulatan negara, Khazanah memberi jaminan rakan konsortiumnya, Global Infrastructure Partners (GIP) tidak akan mengambil alih pengurusan dalam pengambil alihan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).
Pengarah Urusan Khazanah Nasional Amirul Feisal Wan Zahir, juga memberi jaminan konsortium itu tidak merancang untuk memberhentikan sesiapa.
“GIP tidak akan melantik terus kakitangan atau sebarang wakil ke dalam pengurusan MAHB. Sebaliknya, sebarang lantikan dalam pengurusan akan dibuat secara bersama oleh konsortium dan kami akan memanfaatkan kepakaran teknikal GIP apabila diperlukan.
“Kami ingin meyakinkan semua bahawa hak kakitangan MAHB sedia ada akan dilindungi sepenuhnya, tanpa ada rancangan pemberhentian. Para kakitangan pula akan mendapat manfaat daripada perkongsian pengetahuan dengan pakar-pakar bertaraf global,” katanya dalam wawancara bersama Bernama.
Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merancang mengambil alih dan menswastakan MAHB menerusi konsortium Gateway Development Alliance. Khazanah akan meningkatkan pegangan dalam MAHB daripada 33.2% kepada 40% dan KWSP daripada 7.9% kepada 30%, menyaksikan pegangan Malaysia keseluruhan 70% dalam syarikat pengendali lapangan terbang itu.
Baki 30% akan dipegang Abu Dhabi Investment Authority dan GIP, dana pelaburan yang dikatakan akan menjadi anak syarikat kepada firma Amerika Syarikat, BlackRock – merupakan antara syarikat pengurusan dana terbesar dunia yang memegang saham dalam beberapa perusahaan industri pertahanan.
Pemimpin Perikatan Nasional sebelum ini menyeru penjualan saham MAHB kepada GIP ditangguh, selain mendakwa BlackRock memiliki kepentingan dalam firma pertahanan menyokong Israel yang berterusan melakukan genosid ke atas rakyat Palestin.
BlackRock belum muktamad ambil alih GIP
Bagaimanapun, Amirul berkata, ‘pada pengetahuannya’, perjanjian pengambil alihan masih belum dimuktamadkan walaupun syarikat dana antara terbesar dunia itu menyatakan minat meningkatkan keupayaan dana infrastrukturnya.
Katanya, minat BlackRock itu secara tidak langsung mengiktiraf kepakaran GIP.
“Pada pengetahuan saya, perjanjian mereka masih belum dimuktamadkan. Mengenai Gateway Development Alliance, kami ingin menjelaskan bahawa rakan kongsi konsortium langsung kami ialah ADIA dan GIP, bukannya BlackRock,” katanya.