Bekal elektrik tanpa TNB, Akses Pihak Ketiga dilaksana mula September

Fadillah Yusof yang juga menteri peralihan tenaga dan transformasi air hadir Pelancaran Inisiatif Kombinasi Pembakaran Arang Batu Bersama Biojisim di Loji Janakuasa Tanjung Bin Power, Pontian. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kerajaan melaksanakan Akses Pihak Ketiga dalam industri bekalan elektrik negara bermula September ini, tanpa perlu melalui atau membeli daripada Tenaga Nasional Bhd (TNB), kata Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga menteri peralihan tenaga dan transformasi air, berkata Akses Pihak Ketiga boleh membekalkan tenaga elektrik jika mereka memiliki pelanggan.

Fadillah berkata, pelaksanaan Akses Pihak Ketiga sebenarnya digariskan oleh Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) untuk dilaksanakan tahun depan.

“Bagaimanapun, menerusi perancangan dalaman Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, kita mahu awalkan pelaksanaan inisiatif itu.

“Ia berikutan minat tinggi ditunjukkan pelbagai pihak susulan pelabur luar yang banyak membina pusat data di negara ini dan ia memerlukan sumber tenaga yang tinggi,” katanya menurut Bernama di Pontian.

Pada April lalu, jaminan bekalan gas dalam konteks peralihan tenaga dan keterjaminan bekalan elektrik di Semenanjung adalah antara perkara dibincang pada Mesyuarat Majlis Tenaga Negara (MTN) Bilangan 1 Tahun 2024 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, ahli MTN ditegaskan mengenai kepentingan kerajaan memberi fokus kepada agenda peralihan tenaga yang telah direncana melalui NETR.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan menyasarkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui sebanyak 40% dalam campuran bahan api negara menjelang 2035.

Katanya, langkah itu dijangka dapat mengurangkan penghasilan gas karbon dioksida (CO2) sebanyak 10 juta tan setahun, selain pihak kementerian sasar meningkatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui dalam campuran bahan api sehingga 100% pada 2050.

“Usaha ini penting bagi memastikan kelestarian alam terus terpelihara untuk generasi masa depan. Inisiatif ini menyokong saranan kerajaan untuk menggunakan biojisim dan biogas dalam penghasilan tenaga sebanyak 1.4 gigawatt pada tahun 2050.

“Sektor tenaga negara mewakili 29% Keluaran Dalam Negara Kasar serta menggajikan suku daripada tenaga kerja dalam negara. Oleh itu, perubahan dalam sistem tenaga bukan sahaja memberi kesan kepada pendapatan serta pembangunan ekonomi tetapi juga kepada kehidupan rakyat yang bergantung kepada tenaga mampu milik dan berdaya harap,” katanya.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *