Pejabat di London dikaitkan dengan Daim tidak lagi ditawar untuk dijual

Bangunan di 1 Crown Court di London, berdekatan Katedral St Paul, menawarkan ruang pejabat dua tingkat, menurut laman sesawang bangunan itu. (Gambar onecrowncourt)

LONDON: Sebuah bangunan pejabat di kota London yang dikaitkan dengan keluarga seorang bekas ahli politik Malaysia tidak lagi ditawarkan untuk dijual, menurut pihak yang tahu tentang proses itu.

Bangunan di 1 Crown Court on Cheapside, kira-kira 400m dari Katedral St Paul, ditawarkan untuk dijual pada harga £28.6 juta (RM171 juta) tahun lalu, menurut sebuah dokumen yang dilihat oleh Bloomberg News.

Suatu kerangka urus niaga dipersetujui dengan pelabur pada awal tahun ini namun perbincangan itu tidak diteruskan dan sejak itu hartanah tidak ditawarkan untuk dijual, kata pihak berkenaan, yang minta tidak dinamakan kerana proses itu bersifat persendirian.

Pemfailkan di Pendaftar Tanah UK menunjukkan bangunan itu milik sebuah syarikat yang berdaftar di Kepulauan Virgin British, iaitu Straits Properties Limited.

Syarikat itu milik sebuah trust yang mana isteri kepada bekas menteri kewangan Malaysia, Daim Zainuddin, merupakan benefisiari, menurut laporan oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) pada Januari.

Wakil keluarga itu enggan mengulas.

Pada Disember, badan anti-rasuah Malaysia menyita sebuah bangunan milik keluarga Daim di Kuala Lumpur, menyebabkan Daim menggelarnya sebagai suatu ‘pemburuan’.

Daim, yang berkhidmat sebagai menteri kewangan selama dua penggal, merupakan orang kepercayaan Dr Mahathir Mohamad semasa beliau berkhidmat sebagai perdana menteri.

Mahathir merupakan mentor kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum beliau dipecat daripada kerajaan pada 1998.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menjawab komen Daim dengan berkata ia membuka kertas siasatan berhubung Daim pada Februari 2023, berdasarkan maklumat daripada Kertas Pandora, iaitu dokumen berkenaan entiti luar pesisir yang diterbitkan oleh ICIJ pada 2021.

Pada Januari, Daim dan isteri, Nai’mah Khalid, dituduh atas dakwaan gagal mengisytiharkan aset di bawah undang-undang anti-rasuah Malaysia. Mereka mengaku tidak bersalah.

Straits Properties memberi bangunan pejabat itu pada 2014 pada harga £31.5 juta (RM189 juta), menurut pemfailkan di pendaftar tanah.

Daim berkhidmat sebagai menteri kewangan dari 1984 hingga 1991, dan sebelum itu kerjaya beliau meliputi bidang perbankan, pembangunan hartanah, dan undang-undang.

Hartanah di London sekian lama menjadi tarikan bagi golongan mewah yang mencari tempat untuk simpan wang mereka.

UK berusaha membersihkan reputasinya sebagai peti deposit selamat untuk pelabur dengan sedikit pemeriksaan sebenar ke atas sumber kekayaan, dengan memperkenalkan langkah-langkah seperti daftar pemilik hartanah UK dari luar negara.

Namun rangka kerja itu mempunyai beberapa kelemahan dan masih belum membawa kepada peningkatan bermakna dari segi tindakan penguatkuasaan.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *