Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Peranti Perubatan, Dr Muralitharan Paramasua menunjukkan kanta lekap dirampas dalam sidang media di Cyberjaya hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Sebuah syarikat yang dibatalkan lesen perniagaan pada November lalu, diserbu pihak berkuasa sekali lagi kerana masih menjual kanta lekap “haram”.
Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), Dr Muralitharan Paramasua berkata, pihaknya bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu syarikat sama enam bulan lalu.
Tetapi, katanya, syarikat itu tetap menjual kanta lekap dan air pembersih kanta lekap tidak berdaftar.
Beliau berkata, sebanyak 150,000 kanta lekap pelbagai jenama tidak berdaftar dirampas dalam serbuan kali kedua pada 20 Mei lalu, dengan jumlah hampir sama turut disita pada November lalu.
Ini rampasan terbesar dengan nilai anggaran berjumlah RM700,000.
“Meskipun telah dikenakan tindakan pembatalan lesen perniagaan, syarikat ini tetap beroperasi.
“Ini kesalahan serius kerana menjual produk tidak berdaftar di bawah MDA dan boleh mendatangkan kecederaan kepada pengguna,” katanya menurut Sinar Harian.
Muralitharan berkata, syarikat itu beroperasi sejak tiga tahun lalu dengan menjual kanta lekap mempunyai pendaftaran sah bersama produk tidak berdaftar.
Disebabkan modus operandi itu, katanya, pihak berkuasa tidak dapat mengesan kesalahan dilakukan, tetapi MDA mendapat maklumat orang ramai berhubung kegiatan mereka.
Beliau berkata, tanpa sebarang label pada produk dibawa masuk, syarikat itu akan meletakkan label dibuat sendiri.
“Harga kanta lekap tidak berdaftar yang dijual syarikat ini sekitar RM9 dan RM10. Ia jauh lebih murah daripada harga pasaran, namun tahap keselamatan dan ketulenan tidak dapat dipastikan kerana tidak didaftarkan dengan MDA.”