Ahli akademik bankrap bukan lagi ketua jabatan UiTM

Sumber di UiTM mengesahkan maklumat pemegang jawatan di laman web universiti itu adalah terkini.

PETALING JAYA: Ahli akademik muflis yang dilantik Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk memimpin sebuah jabatan bawah fakulti perubatannya tidak lagi memimpin jabatan berkenaan, berdasarkan laman web universiti itu.

FMT mendapati laman web itu memaparkan jawatan ketua Jabatan Kardiovaskular dan Torasik kini dipangku oleh Zamrin Dimon, manakala ahli akademik berkenaan disenaraikan sebagai ‘profesor’.

Sumber di UiTM mengesahkan maklumat di laman web itu adalah terkini.

Persoalan mengenai status kewangan ahli akademik itu timbul di media sosial susulan temubualnya dengan sebuah laman berita baru-baru ini.

Semakan di Jabatan Insolvensi Malaysia mengesahkan ahli akademik itu diisytiharkan bankrap pada 2014 dan setakat 25 April tahun ini masih belum dilepaskan (undischarged).

Beberapa warganet juga mendakwa mereka mendaftar di sebuah universiti perubatan swasta yang dimulakan oleh individu berkenaan kira-kira 10 tahun lalu, yang kemudiannya ditutup, dan kerajaan terpaksa campur tangan.

UiTM mempertahankan pelantikan itu, mengatakan Jabatan Insolvensi memberikan kebenaran bersyarat untuk universiti melantik individu berkenaan, dan ia dibuat berdasarkan ‘kepakaran dan pengalaman’ ahli akademik tersebut.

Seorang bekas dekan sebuah universiti tempatan, yang minta tidak dinamakan, bagaimanapun berkata UiTM ‘terlepas beberapa perkara penting’, manakala ahli G25, Johan Ariffin Samad, berkata pengecualian untuk ahli akademik berkenaan sebagai ‘aneh’.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *