SQ321: Tiga rakyat malaysia di unit rawatan rapi, stabil tetapi dipantau rapi – Duta

SQ321: Tiga rakyat malaysia di unit rawatan rapi, stabil tetapi dipantau rapi – Duta

BANGKOK: Tiga penumpang penerbangan SQ321 Singapore Airlines (SIA) yang merupakan rakyat Malaysia kini sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) tetapi tiada yang berada dalam keadaan kritikal.

Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel berkata beliau dimaklumkan walaupun keadaan mereka tidak sehingga mengancam nyawa, mereka perlu dipantau rapi di ICU kerana mengalami kecederaan di kepala dan belakang.

“Tiga yang berada di ICU dalam keadaan sedar dan boleh bercakap sementara keadaan mereka dipantau doktor. Enam lagi rakyat Malaysia yang juga dimasukkan ke wad kerana pening kepala dan kecederaan ringan berada dalam keadaan stabil sambil dipantau juga oleh doktor, “ katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata rakyat Malaysia yang dimasukkan ke hospital berusia antara 31 hingga 65 tahun, dengan enam dirawat di Hospital Samitivej Srinakarin dan tiga lagi di Hospital Samitivej Sukhumvit.

Beliau berkata pihak kedutaan komited untuk memantau keadaan mereka dan sedia untuk menyediakan bantuan yang diperlukan.

Pesawat SIA penerbangan SQ321 membawa 211 penumpang dan 18 kru itu sedang dalam penerbangan dari London ke Singapura apabila ia mengalami gelora udara yang ekstrem di atas Lembangan Irrawaddy pada ketinggian 11,277.6 meter, kira-kira 10 jam selepas berlepas.

Juruterbang mengisytiharkan kecemasan perubatan dan melencongkan pesawat Boeing 777-300ER ke Bangkok dan mendarat pada pukul 3.45 petang waktu tempatan, pada Selasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi .

Seorang penumpang maut dan ramai tercedera dalam insiden itu. Pengarah Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi Kittipong Kittikachorn berkata pada Selasa mangsa yang maut itu adalah seorang lelaki warga British berusia 73 tahun.

Terdahulu, Timbalan Superintendan Balai Polis Lapangan Terbang Suvarnabhumi Left Kol Polis Weerasak Muangsuwan dalam satu kenyataan berkata Polis Thailand telah menghantar mayat penumpang yang maut itu ke Jabatan Forensik Institut Perubatan Chakri Naruebodindra untuk bedah siasat.

“Belum ada lagi yang tampil untuk menuntut mayat kerana isteri si mati juga cedera dan masih lagi menerima rawatan,” katanya.

Sementara itu Menteri Kesihatan Awam Thailand Somsak Thepsuthin menzahirkan kesedihannya terhadap apa yang berlaku kepada penumpang dan kru penerbangan SQ321 SIA.

Jurucakap politik kepada Kementerian Kesihatan Awam Trichada Sritada berkata Somsak telah mengarahkan Setiausaha Tetap kepada kementerian itu Opas Karkawinpong untuk memberikan bantuan kesihatan sepenuhnya kepada penumpang dan kru terlibat.

“Somsak menekankan kepentingan sokongan menyeluruh kepada individu yang terkesan,” katanya.

Beliau berkata pada masa ini, 41 daripada mereka dirawat di Hospital Samitivej Srinakarin, 14 orang di Hospital Samitivej Sukhumvit sementara dua orang lagi di Hospital Bangkok.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *