Penganalisis berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim harus beri beberapa jaminan berhubung peranan JKDM di Sabah di sebalik penolakan GRS. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim harus beri beberapa jaminan berhubung peranan Jawatankuasa Komuniti Desa Madani (JKDM) di Sabah, jika tidak mahu tersepit antara Gabungan Rakyat Sabah dan Umno, menurut penganalisis.
Antara jaminannya ialah JKDM tidak akan mencampuri urusan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) mengurus dan mentadbir desa di Sabah, dan ‘hanya’ berfungsi sebagai ombudsman yang memastikan dasar Putrajaya dilaksanakan ke tahap optimum.
“Ini jaminan yang dapat mengelakkan Anwar daripada tersepit dalam memenuhi permintaan dua pihak yang sama-sama berkepentingan dan berpengaruh,” kata Syahruddin Awang Ahmad dari Universiti Malaysia Sabah.
Mengulas penolakan di pihak GRS berkenaan JKDM, Syahruddin berkata entiti itu tidak akan dilihat sebagai bersifat ‘kepartian’ sekiranya Putrajaya menjelaskan secara terperinci tujuan dan bentuk tugas entiti itu di peringkat kampung, di samping JPKK.
JPKK, yang dahulunya dikenali sebagai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, merupakan organisasi akar umbi bagi mentadbir dan mengurus kampung dan diketuai oleh individu yang dilantik kerajaan negeri.
Semalam, Timbalan Ketua Menteri Jeffrey Kitingan mengumumkan Sabah tidak akan melaksanakan JKDM kerana kerajaan negeri sudah mempunyai JPKK dan tidak mahu inisiatif yang akan ‘mengelirukan’ rakyat. Kerajaan Sabah dipimpin oleh GRS.
Dalam laporan pada 17 Mei lalu, Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin, dipetik sebagai berkata lebih 2,400 individu membabitkan 32 daripada 73 DUN di Sabah dilantik bagi menggerakkan JKDM di kawasan masing-masing ‘setakat ini’.
Katanya, JKDM ‘menyelaras sosioekonomi serta keusahawan’ di desa maka tidak bertindih dengan peranan JPKK.
Menurut laporan sama, Bung menerima watikah pelantikan JKDM mewakili 132 pengerusi dan setiausaha jawatankuasa itu dari 66 kampung di Kinabatangan, daripada Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamid, yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah, pada 9 Mei lalu.
Zahid juga merupakan presiden Umno.
Lee Kuok Tiung dari UMS berkata, JKDM dari awal lagi dilihat sebagai usaha bermotif politik, oleh Umno untuk menembusi kawasan tertentu.
Lagipun, katanya, sebarang dana yang ingin disalurkan kepada komuniti setempat boleh dilakukan menerusi agensi kerajaan sedia ada.
“Jadi tidak dapat elak daripada dicop sebagai bermotifkan politik dan ini sudah pasti akan mencabar ataupun menggagalkan hasrat berkenaan,” katanya.