Malaysia kejutkan Thai, rangkul Juara Dunia Sepak Takraw double

Aidil Aiman Azwawi dan Muhammad Noraizat Mohd Nordin berjaya menundukan pasangan Thailand dalam final Piala Dunia Sepak Takraw 2024 bagi acara double divisyen premier. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Skuad negara mencipta sejarah tersendiri selepas menjuarai acara double divisyen premier kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 dengan menjinakkan seteru utama Thailand 2-0 pada aksi final di Stadium Titiwangsa di sini malam ini.

Sokongan lebih 1,000 penyokong tuan rumah yang memenuhi segenap ruang venue kejohanan bagi menyemarakkan lagi semangat skuad negara ternyata mendatangkan kegerunan buat pihak lawan yang juga juara bertahan.

Gandingan Aidil Aiman Azwawi dan Muhammad Noraizat Mohd Nordin terlebih dahulu menggamatkan suasana apabila mendahului 10-3, namun pasangan Thailand Seksan Tubtong dan Kittiphum Sareebut bangkit mengikat kedudukan 14-14 sebelum Malaysia meraih kemenangan set pertama 17-16.

Pemenang pingat perak acara doubles Sukan SEA edisi 2021 dan 2023, Aidil-Noraizat diberikan tentangan sengit di set kedua namun berjaya menafikan kebangkitan Thailand sekali gus memutlakkan kemenangan dengan keputusan 15-13.

Sementara itu, Aidil ketika ditemui selepas aksi akhir double menyifatkan persembahan dilakar ke atas Thailand adalah yang terbaik sepanjang kariernya.

“Aizat banyak bantu saya bagi membuat servis yang baik dan kurangkan kesilapan. Agak tertekan dengan perlawanan tadi namun kami dapat kawal dan baca servis pasukan lawan,” katanya.

Aksi final kejohanan itu turut disaksikan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yang meluangkan masa menonton dan memberikan sokongan kepada pasukan negara di sini.

Malaysia akan membuat satu lagi perhitungan final membabitkan acara regu divisyen premier bertemu Thailand yang juga berlangsung malam ini.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *