Hal ‘rumah tangga’ kita bincang dalaman, Peja beritahu ahli Bersatu

Ahmad Faizal Azumu mengulangi pendirian tidak mencabar jawatan presiden pada pemilihan Bersatu tahun ini. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu menyarankan hal ‘rumah tangga’ parti dibincang secara dalaman tanpa perlu membuka ruang perdebatan di khalayak termasuk melalui saluran media.

Respons itu susulan cadangan seorang pemimpin Bersatu supaya parti memberi kelonggaran melalui Perkara 14.14 perlembagaan bagi membolehkan ia memilih barisan kepimpinan untuk menyokong Presiden Muhyiddin Yassin serta mengelakkan beliau menghadapi situasi ‘tangan yang terikat’.

“Saya tak mahu ulas lanjut, kerana perkara seperti ini tak perlu kita ulas di khalayak, kerana mereka semua rakan-rakan saya, pejuang dalam Bersatu yang saya hormati, yang kita mesti sama-sama perkukuh dan perkasakan.

“Apa juga perkara dalam rumah tangga, bincang dalam rumah tangga,” katanya kepada FMT.

Semalam, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Wan Saiful Wan jan, berkata Faizal satu-satunya individu layak bertanding lima jawatan tertinggi pada pemilihan parti September ini jika parti tidak memberi kelonggaran kepada syarat ditetapkan.

Perkara 13.7 Perlembagaan Bersatu menetapkan untuk mana-mana ahli layak bertanding lima jawatan tertinggi parti harus memegang jawatan ketua bahagian atau MPT selama lengkap dua penggal.

Perkara 14.14 Perlembagaan Bersatu pula menyatakan MPT berhak memberi kelonggaran kepada mana-mana calon yang ingin bertanding bagi jawatan tertinggi dalam parti itu.

Wan Saiful berkata, jika kelonggaran tidak diberikan, Azmin Ali dan Hamzah Zainudin juga tidak layak bertanding selain kejanggalan akan berlaku seperti Ronald Kiandee tidak layak mempertahankan jawatan naib presiden disandangnya.

Hari ini FMT melaporkan, seorang pemimpin akar umbi Bersatu enggan dikenali berkata ramai mahu pemilihan parti menjadi platform mengukuhkan kepimpinan namun ‘terbantut’ kerana calon layak begitu terhad terutama jawatan timbalan presiden.

“Syarat lengkap dua penggal itu menyebabkan pilihan yang ada ‘sangat terhad’…majoriti akar umbi tidak yakin dengan kepimpinan Peja untuk menerajui parti selepas Muhyiddin,” katanya.

Sementara itu, Faizal mengulangi pendirian tidak mencabar jawatan presiden pada pemilihan Bersatu tahun ini, sambil menyatakan kekuatan yang ada pada Bersatu terletak kepada kepimpinan Muhyiddin.

“Pada pandangan saya, kekuatan parti banyak terletak melalui kepimpinan Muhyiddin Yassin. Saya secara peribadi nak pertahankan kepimpinan tersebut,” katanya.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *