KTMB dinasihat hati-hati hoskan acara

KTMB dikritik kerana menyewakan Koc Chillax untuk festival tarian oleh Pinkfish Express.

PETALING JAYA: Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) sepatutnya lebih berhati-hati ketika menyewakan kocnya untuk acara seperti festival tarian, menurut seorang bekas kakitangan.

Bekas pekerja yang enggan dinamakan itu berkata, pengendali rel tunggal negara itu sepatutnya lebih selektif dan mengelak mengambil risiko yang mampu merosakkan nama baiknya dan strategi perniagaannya.

“(Ini lebih penting memandangkan) ia antara penyumbang terbesar kementerian-kementerian pengangkutan dan kewangan,” katanya kepada FMT.

Bekas kakitangan itu mengulas kritikan PAS terhadap KTMB kerana menyewa sebuah koc untuk satu festival tarian, baru-baru ini.

Menurut Hitz FM, festival tarian Pinkfish Express berlaku dalam koc KTMB yang mengembara di sekitar Kuala Lumpur.

Gambar dan video acara itu yang dikongsikan ke platform media sosial Pinkfish Express menunjukkan hadirin menari dalam koc sambil diiringi persembahan DJ.

Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari berkata acara itu bertentangan dengan budaya timur yang menegakkan akhlak, kesopanan, dan hiburan sederhana”.

Bekas kakitangan itu bersetuju dengan respons PAS dan menyifatkan acara itu sebagai ‘aktiviti tidak bermoral’.

“Sepatutnya ia tidak berlaku,” katanya.

Sejak beberapa tahun lalu, KTMB mengusahakan inisiatif baharu untuk meraih pendapatan daripada sumber selain jualan tiket.

Bekas kakitangan itu berkata inisiatif seumpama itu dilaksanakan untuk meningkatkan keuntungan yang terjejas akibat kekurangan jualan tiket dan kos pengoperasian lebih tinggi.

Satu daripada inisiatif itu adalah Koc Chillax, iaitu koc kosong yang boleh diubah menjadi bilik karaoke, lokasi permainan dalam atau surau.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *