Seorang penduduk memeriksa kerosakan rumahnya selepas hujan lebat di wilayah Ghor, barat Afghanistan semalam. (Gambar AP)
ISTANBUL: Hujan lebat dan banjir di Afghanistan menyebabkan sekurang-kurangnya 400 kematian, lapor Agensi Anadolu memetik laporan Tolo News berpangkalan di Kabul.
Jumlah itu termasuk 18 kematian dalam banjir baru-baru ini yang melanda wilayah Faryab bersempadan dengan Turkmenistan.
Jurucakap Gabenor Faryab, Ismetullah Muradi mengesahkan jumlah kematian itu dan 2,000 hektar tanah pertanian musnah, lebih 1,000 rumah rosak dan 300 haiwan hilang.
Banjir sebelumnya di wilayah Ghor meragut sekurang-kurangnya 50 nyawa, dengan puluhan lagi dilaporkan hilang.
Minggu lalu, hujan lebat menyebabkan kerugian besar di utara Afghanistan, khasnya wilayah Baghlan, Badakhshan dan Takhar.
Salji musim sejuk cair, ditambah hujan lebat dan infrastruktur tidak mencukupi, membawa kepada banjir tahunan di Afghanistan yang mengakibatkan kehilangan nyawa serta harta benda.
