Tak perlu tukar gelaran ketua menteri Sabah kepada ‘premier’, kata Bung

Bung Moktar Radin berkata menukar gelaran ketua menteri kepada ‘premier’ tidak akan menjejaskan tidak akan mengubah sifat autonomi Sabah yang tersurat dalam Perjanjian Malaysia 1963. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kerajaan Sabah tidak perlu meniru Sarawak yang menukar gelaran ketua menteri kepada ‘premier’, kata Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin.

Bung berkata mengubah gelaran itu tidak akan mengubah sifat autonomi Sabah yang tersurat dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Dalam hantaran di Facebook, Bung mengingatkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tentang implikasi terhadap proses pematuhan MA63 jika Sabah mengubah perlembagaan sewenang-wenangnya ketika berunding tentang interpretasi Perkara 112D berkait pemberian hak pendapatan 40% negeri.

“Kerajaan persekutuan dan negeri perlu bersama-sama patuh dan hormat MA63 dan Perlembagaan Persekutuan pada setiap masa,” katanya.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata Sabah sepatutnya memfokuskan untuk mengembalikan takrifan ‘gabenor’ yang dipotong pada 1976.

“Sekiranya kita ingin mendapat pengiktirafan sebagai ‘rakan kongsi’, lebih baik meminta agar takrifan ‘gabenor’ dikembalikan. Gabenor bermaksud ketua negeri yang tidak mempunyai raja.

“Kita tidak perlu meniru apa yang dilakukan oleh jiran kita, Sarawak kerana itu mencerminkan kepimpinan Sabah tandus dengan idea dan identiti,” katanya.

Komen Bung itu dibuat selepas Timbalan Setiausaha Agung GRS Armizan Mohd Ali berkata meminda perlembagaan Sabah untuk mengehadkan pemerintahan ketua menteri kepada dua penggal adalah lebih penting daripada cadangan menukar gelaran ketua menteri kepada ‘premier’.

Pada 14 Mei lalu, Armizan memberitahu FMT bahawa menetapkan had penggal ketua menteri akan mengurangkan risiko salah laku di cabang eksekutif.

Dua rang undang-undang untuk menukar gelaran ketua menteri kepada ‘premier’ dan mengehadkan pemerintahan ketua menteri kepada dua penggal dijangka dibentangkan pada sidang DUN Julai ini.

Sarawak menukar gelaran ketua menteri kepada premier pada 15 Feb 2022. Ia juga menukar gelaran ‘timbalan ketua menteri’ dan ‘pembantu menteri’ masing-masing kepada ‘timbalan premier’ dan ‘timbalan menteri’.

Author:

2 thoughts on “Tak perlu tukar gelaran ketua menteri Sabah kepada ‘premier’, kata Bung

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *