Surat Bersatu tiada makna, saya takkan jawab, kata Ahli Parlimen Bukit Gantang

Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal belum bersedia mengumumkan parti yang akan diwakilinya jika PRK berlaku di Parlimen Bukit Gantang. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menyifatkan surat arahan dikeluarkan Bersatu kepada wakil rakyat yang mengumumkan sokongan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, sebagai tidak bermakna.

“Saya dah pun terima surat berkenaan, tiada apa-apa makna dan saya tak akan jawab.

“Saya nak tunggu apa tindakan mereka (selepas 14 hari) dan jika berlaku PRK pun, saya akan turun bertanding.

“Apa yang saya buat adalah mahu menunjukkan tindakan mereka itu tak betul, merosakkan fikiran rakyat dan mengganggu Ahli Parlimen menjalankan tugas,” katanya menurut Berita Harian.

Semalam, Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin dilaporkan berkata, enam Ahli Parlimen dan seorang Adunnya yang berpaling tadah diberi tempoh 14 hari untuk menjawab “surat arahan” dikeluarkan kepada mereka.

Katanya, kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan keahlian mereka terhenti serta-merta mengikut Fasal 10.4 perlembagaan Bersatu.

Syed Abu Hussin Hafiz berkata, beliau sudah merujuk surat arahan itu kepada peguam serta bekas hakim yang memaklumkan ada kesalahan kerana sengaja membuat gangguan dan menghasut rakyat.

Beliau menjangkakan semua tujuh wakil rakyat terbabit sedia mengambil tindakan jika perlu bagi memberi kesedaran kepada Bersatu.

Ditanya parti yang akan diwakilinya jika PRK berlaku di kawasannya kelak, katanya, beliau belum bersedia mengumumkannya.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *