PM: Cadangan tambah baik gaji penjawat awam diumum pada perhimpunan Hari Pekerja

PM: Cadangan tambah baik gaji penjawat awam diumum pada perhimpunan Hari Pekerja

KUALA LUMPUR: Cadangan penambahbaikan termasuk usaha meningkatkan kadar pendapatan bersih penjawat awam akan diumum oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada perhimpunan Hari Pekerja yang bakal diadakan kelak.

Menerusi hantaran di laman Facebook, beliau berkata Mesyuarat Jawatankuasa Induk Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) Bilangan 3 Tahun 2024 yang dipengerusikannya hari ini bagi membincangkan dengan lebih lanjut struktur gaji penjawat awam, hampir memuktamadkan penambahbaikan berkaitan perkara itu.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata perkara itu seterusnya akan diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

“Saya ingin tegaskan komitmen kerajaan untuk menyelesaikan usaha menambah baik struktur gaji penjawat awam yang dilaksanakan menerusi Kajian SSPA, di sebalik ekonomi negara yang mencabar kesan ketidaktentuan geopolitik dunia.

“Kerajaan mengambil pendirian dan tanggungjawab ini mengambil kira tekanan kos sara hidup bagi penjawat awam terutamanya yang berpendapatan rendah, semoga usaha ini menjadi motivasi buat penjawat awam untuk meningkatkan produktiviti dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,“ kata beliau.

Sebelum ini, Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2024 pada 13 Okt tahun lepas mengumumkan SSPA akan dilaksana sepenuhnya mulai 2025.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *