Sultan Pahang titah masjid laksanakan solat Istisqa’ mohon hujan

Sultan Pahang titah masjid laksanakan solat Istisqa’ mohon hujan

KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) supaya semua masjid di negeri ini melaksanakan solat istisqa’ memohon diturunkan hujan dan solat hajat bagi mendoakan kesejahteraan rakyat.

Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman berkata baginda bertitah demikian selepas meninjau paras air Sungai Pahang yang dilaporkan surut akibat fenomena El Nino pada Khamis lepas.

Beliau berkata Sultan Abdulla juga telah mendapat makluman terdapat beberapa kejadian kebakaran hutan di negeri ini berikutan fenomena tersebut.

“Fenomena El Nino menyebabkan cuaca menjadi panas dan kering yang boleh menyebabkan kesan sampingan dan risiko mengalami dehirasi dan strok haba. Fenomena ini juga boleh menyebabkan krisis bekalan air, kebakaran hutan dan penyakit berkaitan jerebu.

“Sehubungan dengan itu, Ke bawah Duli Paduka Baginda Tuanku menasihatkan rakyat Pahang Darul Makmur khususnya agar meminum air secukupnya selepas berbuka puasa dan mengehadkan aktiviti di luar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata baginda juga turut menasihatkan rakyat supaya berjimat dalam penggunaan air dan bagi mereka yang mengalami penyakit kesan daripada fenomena ini, perlu berjumpa doktor dengan segera untuk mendapatkan rawatan.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *