KOTA BHARU: Polis merampas pelbagai rokok berjenama disyaki tidak bercukai melibatkan kerugian dianggar bernilai RM348,816 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Kelar, di Pasir Mas semalam.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Kama Azural Mohamed berkata serbuan dilakukan pada 7.05 pagi selepas pihaknya menjalankan intipan selama satu jam.
“Ketika serbuan, rumah itu didapati tidak berkunci dan tidak berpenghuni. Pemeriksaan di bilik sebelah belakang dapur menemukan selonggok rokok yang belum diluluskan cukai oleh pihak kastam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata antara rokok dirampas ialah 200 karton rokok jenama John Black, 27 karton rokok jenama RE, 25 karton rokok Tex Hijau, 20 karton rokok jenama Gudang Garam serta 18 karton rokok jenama Kiara.
Menurut Kama Azural pihaknya telah mengenal pasti suspek terlibat berkaitan rokok itu dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan.
Kes katanya sedang disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
“Polis menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan menyalurkannya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas menerusi talian 09-7932 222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
