EU kutuk Israel rampas 800 hektar tanah di Tebing Barat

EU kutuk Israel rampas 800 hektar tanah di Tebing Barat

ANKARA: Kesatuan Eropah (EU) pada Ahad mengecam tindakan Israel merampas 800 hektar tanah di Lembah Jordan di Tebing Barat yang diduduki.

Dalam satu kenyataan EU berkata Kesatuan Eropah dengan tegas mengecam pengumuman Menteri Kewangan Israel Bezalel Smotrich bahawa lebih 800 hektar tanah di wilayah Palestin yang diduduki telah diisytiharkan sebagai tanah negara, lapor Agensi Anadolu.

EU berkata ini adalah rampasan terbesar sejak Perjanjian Oslo ditandatangani antara Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan Israel pada tahun 1994.

“Penempatan haram merupakan pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa. Pada mesyuarat Majlis Eropah minggu ini, pemimpin EU mengutuk keputusan Kerajaan Israel untuk memperluas penempatan haram di seluruh Tebing Barat yang diduduki, menyeru Israel untuk membatalkan keputusan berkenaan,“ katanya.

Presiden Palestin turut mengutuk keputusan kerajaan Israel untuk merampas tanah di Lembah Jordan.

Pertubuhan hak asasi manusia Palestin dan Israel telah menunjukkan peningkatan ketara dalam aktiviti penempatan haram di Tebing Barat sejak pembentukan kerajaan Benjamin Netanyahu pada akhir tahun 2022.

Menurut Suruhanjaya Penjajahan dan Penentangan Tembok, lebih 720,000 warga Israel tinggal di penempatan haram di Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis Timur.

Masyarakat antarabangsa bersetuju bahawa penempatan haram adalah menyalahi undang-undang dan menjadi penghalang kepada pelaksanaan penyelesaian dua negara yang menyeru penubuhan negara Palestin bersama negara Israel. – Bernama, Anadolu

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *