Pelajar meninggal dunia: KPM tidak kompromi kes buli, beri kerjasama penuh

Pelajar meninggal dunia: KPM tidak kompromi kes buli, beri kerjasama penuh

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) bersedia memberi kerjasama penuh berhubung siasatan kejadian seorang pelajar kolej vokasional di Sabah yang ditemukan meninggal dunia dengan kesan kecederaan serta lebam di beberapa bahagian badan, semalam.

Dalam kenyataan hari ini, KPM memaklumkan pihaknya tidak berkompromi dengan salah laku buli di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya.

“KPM menzahirkan rasa dukacita dan ucapan takziah kepada keluarga mangsa, pelajar Kolej Vokasional di Sabah yang telah meninggal dunia pada Jumaat.

“Kematian mangsa masih dalam siasatan pihak berkuasa dan KPM bersedia memberi kerjasama penuh,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, KPM juga telah mengambil tindakan segera dengan memberi bantuan kebajikan kepada keluarga mangsa.

“Sokongan psikososial turut ditawarkan kepada keluarga, pelajar lain, guru dan seluruh warga kolej,” menurut kenyataan itu.

Semalam, pelajar berusia 17 tahun ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terbaring di atas lantai dengan kesan kecederaan serta lebam di beberapa bahagian badan di bilik asrama sebuah kolej vokasional di Sabah.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Dr Rohan Shah Ahmad dilapor berkata pihaknya percaya punca kejadian akibat perselisihan faham antara pelajar terbabit dengan pelajar lain yang menghuni asrama berkenaan.

Beliau berkata susulan itu, 13 pelajar lelaki berusia antara 16 hingga 19 tahun ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *