KPN: Warga PDRM diseru laksana tugas secara profesional, beri khidmat berintegriti

KPN: Warga PDRM diseru laksana tugas secara profesional, beri khidmat berintegriti

KUALA LUMPUR: Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) diseru agar melaksanakan tugas secara profesional dan memberikan perkhidmatan bertunjangkan integriti dan tatakelola yang baik.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain (gambar) dalam perutusan sempena Hari Polis ke-217 yang bakal disambut 25 Mac ini berkata dengan mengekalkan tema ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’ dalam sambutan kali ini, seluruh warga PDRM sentiasa sedia berkhidmat memikul mandat dan tanggungjawab menjaga keselamatan negara dan ketenteraman awam.

“Kepada seluruh warga Sang Saka Biru, marilah sama-sama kita memperbaharui sumpah taat setia kepada Raja dan Negara, serta berikrar untuk memastikan keselamatan rakyat dan kedaulatan negara terus terpelihara,” katanya dalam perutusan itu yang dimuat naik di portal rasmi PDRM.

Razarudin berkata demi kesejahteraan seluruh keluarga Malaysia Madani, PDRM turut menzahirkan kesediaan untuk mengerah segala kudrat dan keringat dalam mendukung dasar-dasar kerajaan ke arah kesejahteraan masyarakat.

Beliau turut mengucapkan penghargaan tertinggi kepada Kerajaan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri, pasukan-pasukan sahabat serta semua pihak yang sentiasa menyokong PDRM.

“Semoga hubungan baik serta jalinan kerjasama erat ini dapat terus diperkukuh ke arah mencapai satu matlamat yang sama demi memastikan kesejahteraan masyarakat dan keamanan negara kekal terpelihara,” katanya.

Beliau berkata jalinan akrab dengan masyarakat sebagai rakan strategik terpenting PDRM telah membantu polis dalam usaha pencegahan jenayah sekali gus membentuk masyarakat yang bertanggungjawab dan cintakan keamanan.

Razarudin turut melahirkan penghargaan buat seluruh warga PDRM kerana berbakti sebagai wira-wira negara yang menjadi tunjang utama kekuatan pasukan.

“Bersempena Ulang Tahun Peringatan Hari Polis kali ini, saya mengajak seluruh warga Pasukan untuk pasakkan tekad dan bulatkan iltizam dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik, demi kemaslahatan agama, bangsa dan nusa tercinta,” katanya. -Bernama

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *