Bekalan air bersih: Kelantan akui berdepan kekangan, perlu kerjasama persekutuan

Bekalan air bersih: Kelantan akui berdepan kekangan, perlu kerjasama persekutuan

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mengakui berdepan beberapa kekangan yang tidak dapat diatasi sepenuhnya bagi membekalkan dan menyalurkan air bersih kepada rakyat negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri Datuk Dr Izani Husin (gambar) berkata kekangan itu termasuk masalah kebergantungan kepada sumber air bawah tanah, loji rawatan air (LRA) yang tidak mencukupi, kebocoran air akibat paip lama dan peningkatan populasi.

“Kita juga berdepan masalah kualiti air kerana kebanyakan tanah di negeri ini mengandungi mineral tinggi seperti magnesium yang memerlukan kos tinggi dan tempoh rawatan air lebih lama.

“Dalam keadaan ini berlaku pula kemarau menyebabkan kita terpaksa mengagihkan air mengikut keutamaan secara bergilir-gilir di beberapa kawasan yang mengalami masalah bekalan air yang serius,“ katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas masalah bekalan air di negeri ini selepas Majlis Perasmian Cabutan Kerja Undi Jabatan Kerja Raya, Cawangan Kejuruteraan Elektrik Negeri Kelantan Bil 1/2024 di Dewan Bunga Teratai, Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Izani yang mewakili kerajaan negeri memohon maaf kepada semua pengguna yang terkesan dengan masalah itu dan memberi ruang kepada pihaknya untuk menyelesaikan secara berperingkat.

Beliau memaklumkan akan mengatasi masalah itu selewat-lewatnya pada 2028 selepas beberapa LRA baharu siap dan dengan harapan mendapat kerjasama kerajaan Persekutuan untuk membantu penukaran paip lama dalam tempoh itu.

“Paip lama sedia ada tidak dapat menampung jumlah tekanan air yang banyak untuk disalurkan kepada pengguna kerana sudah reput dan berdepan risiko kebocoran,“ katanya.

Dalam pada itu beliau berkata masalah bekalan air di beberapa kawasan di Bachok sedang diatasi melalui perkongsian LRA Chicha dan Pasir Tumboh semetara LRA di Telok dijangka siap pada April ini.

“Kita tahu air adalah sumber penting dan utama, kami memohon maaf kerana tidak sempat membekalkan air. Cuma kami harap rakyat dapat bersabar dan beri kami masa untuk selesaikannya dan dalam tempoh itu kita akan usahakan pelbagai cara termasuk bantuan penghantaran air ke rumah yang terkesan,“ katanya.

Hari ini Syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd (AKSB) menyatakan gangguan bekalan air di Gunung, Bachok khususnya di Taman Putri Saadong dan kawasan berhampiran bersifat berkala dan sementara.

AKSB memaklumkan punca bekalan air terputus kerana bekalan yang diterima daripada LRA Chicha menyusut berikutan penerobosan air masin di Sungai Pengkalan Datu, Pasir Tumbuh hingga menyebabkan kandungan klorida melebihi kadar dibenarkan. -Bernama

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *