Eksploitasi pekerja Indonesia: Jabatan Imigresen tahan tiga ejen

Eksploitasi pekerja Indonesia: Jabatan Imigresen tahan tiga ejen

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen (JIM) menahan tiga individu yang dipercayai menjalankan kegiatan eksploitasi dan pemerdagangan pekerja warga Indonesia sejak empat tahun lepas dalam operasi di sebuah rumah di Petaling Jaya, Selangor semalam.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata seorang lelaki dan dua wanita, termasuk seorang wanita warga Indonesia yang bertindak sebagai ejen ditahan dalam operasi pukul 10.30 malam itu.

Beliau berkata JIM turut menyelamatkan empat wanita warga Indonesia berusia 31 hingga 51 tahun yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan.

“Operasi serbuan menggunakan pendekatan siasatan awal bagi mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang berpandukan kepada National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI 2.0),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata empat wanita warga Indonesia berkenaan didapati menjadi mangsa eksploitasi berkaitan dengan penipuan pekerjaan, tidak dibayar gaji atau upah, pergerakan dikawal dan pasport dipegang.

“Ejen ini aktif menjalankan aktiviti mengurus kemasukan, merekrut dan menawarkan perkhidmatan pembantu rumah serta menempatkan mangsa di sebuah rumah dalam kawalannya,” katanya.

Ruslin berkata tiga ejen yang ditahan itu menawarkan khidmat pembantu rumah dengan bayaran sebanyak RM14,000 hingga RM20,000 termasuk menjanjikan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang dikatakan boleh diuruskannya.

“Urusan dengan bakal majikan dibuat dengan menghantar gambar pendaftaran syarikat, gambar pembantu rumah dan pasport melalui aplikasi Whatsapp dan mengatur perjumpaan jika bakal majikan ingin meneruskan pengambilan pembantu rumah.

“Ini dilakukan bagi meyakinkan bakal majikan bahawa segala urus niaga dibuat melalui cara yang sah oleh agensi pekerjaan berdaftar,” katanya.

Beliau berkata ejen itu dipercayai boleh mengaut keuntungan dianggarkan antara RM80,000 hingga RM90,000 setahun.

Siasatan kes itu dijalankan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670).

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *