Johor sambut baik pengumuman kerajaan pusat pinda syarat program MM2H

Johor sambut baik pengumuman kerajaan pusat pinda syarat program MM2H

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor menyambut baik pengumuman kerajaan Persekutuan yang bersetuju meminda beberapa syarat program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz (gambar) berkata pelaksanaan dasar yang lebih mesra bukan sahaja dapat meningkatkan permintaan hartanah, malah ia bakal meningkatkan nilai pelaburan dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi di negeri itu.

“Jutaan terima kasih juga kepada kerajaan Persekutuan atas bantuan banjir yang disalurkan semasa Monsun Timur Laut (MTL) sebanyak RM225 juta untuk mangsa banjir dan sejumlah RM1.6 bilion bagi Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) untuk mengurangkan impak banjir di negeri ini.

“Semoga hubungan baik dan usaha sama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri mampu memberi impak positif kepada kualiti hidup Bangsa Johor dan memakmurkan Johor ke tahap yang lebih baik, insya-Allah,” katanya menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebook rasminya hari ini.

Semalam Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan kerajaan memutuskan untuk meminda beberapa syarat permohonan MM2H bagi menarik lebih ramai peserta warga asing ke negara ini.

Menurutnya antara syarat dipinda ialah jumlah simpanan tetap yang diwajibkan telah ditukar kepada tiga kategori iaitu platinum, emas dan perak.

Selain itu katanya kerajaan dengan kerjasama Jabatan Imigresen akan mempermudahkan permohonan iaitu pemohon akan mendapat kelulusan setelah borang (permohonan) diisi mengikut syarat dalam tempoh tiga hari bekerja.

Bagaimanapun hartanah yang dibeli (peserta) tidak boleh dijual sebelum mencapai tempoh matang selama 10 tahun sekurang-kurangnya selain penyambungan visa (peserta) akan dibuat setiap lima tahun.

Menurut Ahmad Zahid lagi kemudahan lain juga akan diberikan kepada peserta termasuk dari aspek pelajaran dan pendidikan sekiranya mereka mempunyai anak untuk belajar di sekolah pilihan mereka di negara ini. -Bernama

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *