Ramanan: Ekonomi Madani angkat martabat PMKS

Ramanan: Ekonomi Madani angkat martabat PMKS

KUALA LUMPUR: Kerangka Ekonomi Madani yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diyakini mampu membantu Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam mengangkat martabat sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R Ramanan (gambar) berkata perkara itu dapat dilihat menerusi pelancaran Dokumen Perancangan Strategik KUSKOP 2024 dengan tema ‘Usahawan MadanI, Memacu Ekonomi’ pada Januari lepas.

“Pelaksanaan perancangan strategik ini akan menjadi pemangkin kepada usaha untuk merealisasikan Malaysia sebagai jaguh PMKS serantau dan seterusnya mencapai sasaran untuk muncul sebagai 30 kuasa ekonomi terbesar di dunia.

“Ini sepertimana yang telah digariskan oleh Perdana Menteri di bawah Ekonomi MADANI: Memperkasakan Rakyat,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata lebih 600,000 usahawan dijangka mendapat manfaat menerusi pelbagai program yang direncanakan dalam Dokumen Perancangan Strategik KUSKOP 2024 yang menggariskan lima teras strategik, 22 strategi dan 205 program.

Ramanan berkata dokumen itu juga bertujuan mempertingkat skala, daya saing usahawan dan koperasi serta memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan keusahawanan supaya lebih memudah cara dan efektif.

Sementara itu, beliau berkata KUSKOP sentiasa peka terhadap komuniti penjaja dan peniaga kecil dengan menyediakan kemudahan infrastruktur seperti premis serta gerai perniagaan kondusif.

Antaranya termasuk memulakan Projek Tamu Desa yang bertujuan membina dan menaik taraf kemudahan ruang niaga serta infrastruktur keusahawanan di luar bandar di Sabah dan Sarawak dengan UDA Holdings diberikan tanggungjawab sebagai agensi pelaksana.

Projek itu katanya akan melibatkan peruntukan keseluruhan RM19 juta yang mampu memberi manfaat kepada usahawan penjaja dan peniaga kecil luar bandar.

Selain itu, KUSKOP juga telah memohon projek menaik taraf 15 fasiliti penjaja dan peniaga kecil di bawah pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk fasa melibatkan beberapa negeri di Semenanjung, katanya. -Bernama

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *