MAQIS Johor sita 25 tan perut babi bernilai rm400,000

MAQIS Johor sita 25 tan perut babi bernilai rm400,000

JOHOR BAHRU: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor menyita 25 tan daging perut babi bernilai RM400,000 dari Sepanyol kerana tidak mematuhi syarat import ketika pemeriksaan di Pelabuhan Pasir Gudang di sini semalam.

Pengarahnya Edie Putra Md Yusof berkata kesemua daging berkenaan cuba dibawa masuk menerusi sebuah kontena di kawasan pemeriksaan import pelabuhan itu pada pukul 6 petang.

“Hasil pemeriksaan mendapati konsainan itu tidak mematuhi syarat import kerana tiada label yang diletakkan pada setiap bungkusan daging babi berkenaan. Syarat permit menyatakan setiap daging hendaklah dilabel pada setiap bungkusan dengan meletakkan nama, alamat, nombor loji dan tarikh penyembelihan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata perbuatan itu menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 15 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum dibawah Seksyen 15 (2) akta sama.

Edie Putra berkata pihaknya turut mengambil keterangan daripada wakil pengimport iaitu ejen penghantaran yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun.

Katanya MAQIS sentiasa menjalankan penguatkuasaan di semua pintu masuk negara bagi memastikan setiap keluaran seperti tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar serta mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan. – Bernama

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *