Kru nelayan hilang dipercayai jatuh laut di Pulau Pemanggil

Kru nelayan hilang dipercayai jatuh laut di Pulau Pemanggil

MERSING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Mersing meneruskan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) seorang kru bot nelayan tempatan dikhuatiri terjatuh ke dalam laut pada kedudukan lebih kurang 3.3 batu nautika barat laut Pulau Pemanggil, sekitar jam 4.10 petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata operasi dilakukan masuk hari kedua setelah operasi diaktifkan pada jam 5 petang semalam bagi mengesan mangsa Mohamad Sufian Alwi, 32.

Katanya mangsa kali terakhir dilihat memakai seluar pendek berwarna hijau dan tidak berbaju.

“Difahamkan selepas menarik pukat, tiba-tiba mangsa tidak dijumpai di atas bot nelayan terbabit yang dinaiki bersama empat nelayan lain,”katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya operasi berkenaan dikoordinasikan Maritime Rescue Sub- Centre (MRSC) Johor Bahru dengan mengatur gerak bot PERKASA 31 milik Maritim Malaysia.

Selain itu operasi berkenaan turut dibantu oleh Pasukan Polis Marin (PPM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Persatuan Nelayan Mersing dan komuniti nelayan setempat sejak jam 7 pagi tadi, katanya.

“Dalam pada itu, Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) juga telah ditubuhkan di Pejabat Zon Maritim Mersing,” katanya.

Beliau berkata kawasan pencarian dipecahkan kepada empat sektor dengan keluasan 74 batu nautika persegi. – Bernama

Author:

4 thoughts on “Kru nelayan hilang dipercayai jatuh laut di Pulau Pemanggil

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *