HAT YAI: Agensi media utama Thailand dan Malaysia perlu bekerjasama dengan akrab serta mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara itu demi kepentingan bersama terutamanya dalam sektor keselamatan, ekonomi dan pelancongan.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah media sewajarnya memainkan peranan memperhebat lagi silaturahim antara sesesebuah kerajaan dengan kerajaan (G2G), business to business (B2B) dan people to people (P2P) khususnya seperti Thailand dan Malaysia.
“Saya berharap agar hubungan baik antara Thailand dan Malaysia yang telah terjalin sekian lama ini akan berkekalan dan dengan bantuan pihak media lebih banyak lagi kolaborasi pada masa akan datang khususnya dalam sektor ekonomi dan pelancongan antara Wilayah Selatan Thailand dan negeri Perlis,” titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian semasa berkenan merasmikan Hari Media dan Pelancongan Malaysia-Selatan Thailand 2024 di sini malam tadi. Turut berangkat sama pada majlis itu Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Penganjuran Hari Media dan Pelancongan Malaysia-Selatan Thailand 2024 yang berlangsung pada 5 dan 6 Mac di sini itu antaranya melibatkan kerjasama Persatuan Wartawan Perlis (PWP), Persatuan Media Selatan Thailand, Persatuan Perdagangan dan Pelancongan Halal Thailand-Asia Tenggara dan Sekretariat Kebangkitan Nusantara Sejahtera.
Pada majlis itu, Raja Muda Perlis turut berkenan menyaksikan pertukaran Nota Persefahaman (NoU) antara Presiden PWP Syed Muhammad Azlan Sayid Hizar dengan Presiden Persatuan Media Selatan Thailand Chaiyong Maneerungsakun.
Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Raja Puan Muda Perlis turut berkenan melancarkan makanan Perlis iaitu “kurma daging Perlis” sempena Tahun Melawat Perlis 2024-2025 pada majlis berkenaan.
Menyentuh mengenai pelancongan, Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah media perlu memainkan peranan dalam mempromosikan dan melaporkan sebarang aktiviti menarik serta keunikan atau keindahan destinasi pelancongan yang menarik secara terbaik dan menyeluruh untuk membantu memperkenalkannya.
“Tuan-tuan dan puan-puan dipohon menguar-uarkan mengenai kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2025. Promosikanlah mengenai pusat pelancongan, acara yang diadakan, lokasi yang menarik serta juga juadah istimewa yang ditawarkan oleh negeri kami,” titah baginda.
Raja Muda Perlis bertitah media juga harus mengangkat pelancongan Perlis sebagai pelancongan mesra Muslim dan tiada jurang besar mengenai bahasa memandangkan terdapat rakyat di negeri itu yang boleh berbahasa Thailand.-Bernama

Thank you for your sharing. I am worried that I lack creative ideas. It is your article that makes me full of hope. Thank you. But, I have a question, can you help me?
Thanks for sharing. I read many of your blog posts, cool, your blog is very good.