Afrika Selatan fail permohonan segera untuk tambah langkah dalam kes genosid terhadap Israel

Afrika Selatan fail permohonan segera untuk tambah langkah dalam kes genosid terhadap Israel

LONDON: Afrika Selatan pada Rabu memfailkan permintaan segera untuk langkah sementara tambahan dan meminda keputusan sementara Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dalam kes genosid terhadap Israel, menurut mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Afrika Selatan dalam permintaan baharunya berkata ia dibuat berikutan “fakta baharu dan perubahan dalam situasi di Gaza, khususnya kebuluran yang meluas,“ menurut ICJ dalam satu kenyataan.

Agensi Anadolu melaporkan bahawa menurut permintaan itu, kekejaman berterusan oleh Israel melanggar Konvensyen Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid dan pelanggaran langkah-langkah sementara yang dikeluarkan oleh mahkamah pada Januari.

Israel dituduh di ICJ kerana melakukan genosid dan mahkamah membuat keputusan sementara pada Januari mengarahkan Tel Aviv menghentikan tindakan genosid dan mengambil langkah-langkah untuk menjamin bantuan kemanusiaan sampai kepada orang awam di Gaza.

Serangan maut tentera Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Okt telah membunuh lebih 30,700 rakyat Palestin dan mencederakan 72,000 yang lain di tengah-tengah kemusnahan besar-besaran dan kekurangan barang keperluan.

Israel juga telah mengenakan sekatan yang melumpuhkan Semenanjung Gaza, menyebabkan penduduknya, khususnya di utara Gaza, berada di ambang kebuluran.

Perang Israel menyebabkan 85 peratus penduduk Gaza berpindah di tengah-tengah kekurangan teruk makanan, air bersih dan ubat-ubatan.

Menurut PBB, 60 peratus infrastruktur wilayah itu juga rosak atau musnah.-Bernama

Author:

5 thoughts on “Afrika Selatan fail permohonan segera untuk tambah langkah dalam kes genosid terhadap Israel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *