“10 tahun berlalu, orang ramai masih salahkan saya kehilangan MH370,“ kata Azharuddin

“10 tahun berlalu, orang ramai masih salahkan saya kehilangan MH370,“ kata Azharuddin

KUALA LUMPUR: “Sepuluh tahun berlalu, orang ramai masih mempersoalkan dan menyalahkan saya berhubung kehilangan MH370,“ kata bekas Pengerusi Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman.

Membincangkan kehilangan pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 itu yang terus membingungkan dunia, beliau menjawab tuduhan menyembunyikan maklumat mengenai kehilangan pesawat tersebut.

Pesawat itu hilang tanpa jejak sebaik berlepas pada awal pagi, 8 Mac 2014, menuju Beijing, mencetuskan misteri gobal yang masih belum dapat dijawab hingga ke hari ini.

Walaupun terdapat pelbagai andaian dan teori oleh pakar penerbangan, sehingga kini persoalan mengenai mengapa pesawat itu berpatah balik ke Semenanjung Malaysia, masih belum terjawab.

Beliau menyifatkan kehilangan 239 penumpang dan anak kapal dalam tragedi MH370, sebagai kes paling mencabar yang pernah dikendalikannya dan misteri penerbangan terbesar setakat ini.

Bagi keluarga yang kehilangan insan tersayang, kes itu yang masih belum ada penyelesaian sukar untuk difahami, menimbulkan beban bagi keluarga mangsa dan Azharuddin.

Beliau menyifatkan memori duka itu tetap membelenggunya selaku individu penting yang mengetuai dan menguruskan pencarian pesawat dalam tempoh yang sangat sukar.

CAAM sebelum ini, dikenali sebagai Jabatan Penerbangan Awam (DCA), menyelia operasi Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur dan Azharuddin mengetuai DCA ketika insiden tragis itu berlaku.

Azharuddin berkata masyarakat masih ingin tahu dan sering bertanya kepadanya mengenai misi pencarian yang dijalankan.

Bagaimanapun, sesetengah keluarga masih tidak percaya kepada (CAAM) selepas sedekad, katanya dalam nada sedih.

“Setiap kali saya menghadiri majlis perkahwinan atau aktiviti surau, orang ramai akan bertanya kepada saya apa yang sebenarnya berlaku,“ katanya kepada Bernama baru-baru ini.-Bernama

Author:

3 thoughts on ““10 tahun berlalu, orang ramai masih salahkan saya kehilangan MH370,“ kata Azharuddin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *