Kebocoran saluran paip utama punca gangguan air di Pulau Pangkor – Exco

Kebocoran saluran paip utama punca gangguan air di Pulau Pangkor – Exco

IPOH: Kebocoran satu daripada tiga saluran paip utama rentas dasar laut disyaki antara punca gangguan bekalan air yang berlaku di Pulau Pangkor ketika ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Negeri Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Beliau berkata buat masa ini proses pengesanan kebocoran pada saluran paip sepanjang 3.5 kilometer dari jeti Lumut ke Pulau Pangkor itu sedang dilakukan operator dilantik Lembaga Air Perak (LAP).

“Untuk makluman, terdapat kejadian kebocoran pada satu daripada saluran paip utama berukuran 600 milimiter (mm), 350mm dan 300mm dan telah dibaiki pada 5 Feb lepas.

“Namun, daripada pemantauan dan analisis selepas kerja pembaikan mendapati, tekanan masih tak kembali ke paras normal. Usaha menyalurkan bekalan tambahan ke Pulau Pangkor masih tidak menyelesaikan isu,” katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Semalam, Pengerusi Persatuan Pembangunan Hotel dan Resort Pangkor Fauzan Azhar ketika ditemui Bernama di Pantai Teluk Nipah menjelaskan masalah gangguan air yang berlaku di Pulau Pangkor berlaku sejak 8 Feb lepas.

Fauzan memaklumkan punca utama gangguan itu disebabkan pertambahan bilangan pelancong ke pulau peranginan itu khususnya menjelang perayaan Tahun Baharu Cina.

Mohammad Nizar berkata sebagai langkah penyelesaian jangka pendek, LAP telah menggerakkan enam lori tangki bagi memastikan pengagihan bekalan air di pulau bebas cukai itu berjalan lancar.

“Sebanyak tiga lori tangki telah dihantar ke Pulau Pangkor pada 9 Feb lalu bagi mengedar air ke kawasan terjejas dan telah ditambah sebanyak tiga unit lagi pada 12 Feb lepas.

Sementara itu, Pengurus Besar LAP Datuk Ishak Abd Rahman berkata pihaknya akan berusaha mempercepatkan pembinaan tiga unit tangki simpanan tambahan di beberapa lokasi khusus bagi melancarkan proses penyaluran bekalan air untuk jangka masa panjang.

“Kita akan bina satu tangki di tanah besar (Lumut) manakala dua lagi iaitu di Jeti Pangkor dan Teluk Nipah. Pada awalnya, kita jangka pembinaannya akan dimulakan dalam lima tahun akan datang.

“Namun, disebabkan masalah yang berlaku kita akan percepatkan pembinaannya mungkin dalam jangka waktu terdekat bagi memastikan gangguan tidak akan berlaku,” katanya.–Bernama

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *