Kes denggi menurun pada ME06, satu kematian dilaporkan

Kes denggi menurun pada ME06, satu kematian dilaporkan

PUTRAJAYA: Jumlah kes demam denggi menurun kepada 3,631 pada Minggu Epidemiologi ke-06 (ME06) 2024 iaitu bagi tempoh 4 hingga 10 Feb lepas berbanding 3,969 kes pada minggu sebelumnya, dengan satu kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan hingga ME06 adalah sebanyak 22,058 kes berbanding 13,094 kes bagi tempoh sama, tahun lepas.

“Terdapat 10 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding sembilan kematian bagi tempoh yang sama pada 2023,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bilangan lokaliti lokasi panas yang dilaporkan pada ME06 adalah sebanyak 199 lokaliti berbanding 180 pada minggu sebelumnya.

Dr Muhammad Radzi berkata daripada 199 lokaliti itu, sebanyak 158 terdapat di Selangor, 18 lokaliti di Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan (10), Perak (enam), masing-masing dua lokaliti di Pulau Pinang dan Kedah, serta Pahang, Johor dan Sabah masing-masing mencatatkan satu lokaliti.

Beliau berkata bagi survelan chikungunya, tiada kes direkodkan pada ME06 dan jumlah kumulatif kes itu sehingga kini ialah tiga kes.

“Berdasarkan trend kes denggi sejak 10 tahun lepas, kes demam denggi pada kebiasaannya akan memuncak pada setiap empat atau lima tahun dan peningkatan ini telah mula dilihat pada 2023 dan dijangka terus meningkat tahun ini,” katanya.

Menurut beliau, perubahan cuaca yang tidak menentu di samping peningkatan pergerakan orang ramai terutama pada musim perayaan dan hujung minggu serta cuti sekolah merupakan antara punca peningkatan kes demam denggi di dalam negara. – Bernama

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *