Sambutan Tahun Baharu Cina di Sarawak, Sabah dan Labuan meriah

Sambutan Tahun Baharu Cina di Sarawak, Sabah dan Labuan meriah

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof hari ini menghadiri majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran kerajaan Sarawak yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching di sini.

Lebih 5,000 tetamu daripada pelbagai latar belakang dan kaum hadir dengan busana rona merah, warna yang membawa maksud ‘Ong’ atau tuah dalam kalangan masyarakat Cina.

Program rumah terbuka bermula dari 9 pagi hingga 3 petang turut diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.

Dalam pada itu, Menteri Perpaduan Negara Datuk Seri Aaron Ago Dagang ketika ditemui berkata sambutan daripada pelbagai kaum bagi setiap perayaan di negara menjadi tradisi unik yang wujud di Malaysia.

“Ini membuktikan bahawa kita mengiktiraf dan hormat kepelbagaian budaya dan kaum yang kita ada sebab semua perayaan kita akan bersama-sama sambut tidak kira warna kulit,” katanya.

Di Sabah, hampir 10,000 tetamu hadir memeriahkan sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina peringkat negeri Sabah yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kota Kinabalu (SICC) di sini.

Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni hadir memeriahkan majlis dan ketibaan mereka pada 11 pagi, disambut Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor bersama isteri Datin Seri Juliah Salag.

Acara dimulakan dengan menggaul Yee Sang oleh Juhar bersama tetamu kenamaan lain sebagai tanda meraikan tahun baharu agar membawa tuah dan keberkatan buat semua.

Sementara itu di Labuan, Ahli Parlimen Labuan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman turut menghadiri beberapa rumah terbuka yang dihoskan oleh pemimpin industri maritim terkemuka Datuk Seri Patrick Tiong, ahli perniagaan tempatan Datuk Robert Seah, dan Presiden Dewan Perniagaan Cina Labuan Datuk Wong Kii Yii.

Rumah terbuka itu menarik ribuan penduduk setempat yang hadir seawal pukul 10 pagi untuk sama-sama memeriahkan sambutan yang dipenuhi hiasan tradisional dan persembahan tarian singa. – Bernama

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *