
SEREMBAN: Tiga pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki barang kawalan berjadual iaitu 10,431 liter minyak diesel tanpa lesen sah, dua hari lepas.
U. Kesavan, 32; P. Letchuman Rau, 31 dan E. Parthiban, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.
Mengikut pertuduhan pertama, Kesavan dan Letchuman didakwa ada dalam kawalan mereka barangan berjadual iaitu 9,725 liter minyak diesel dalam keadaan menimbulkan syak yang munasabah dalam sebuah lori.
Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan minyak masak secara borong tanpa lesen di hadapan Stor MHMT Holdings Sdn Bhd, Jalan PS 2/3, Taman Pinggiran Senawang, pada 3 petang, 7 Feb lepas.
Bagi pertuduhan kedua, Parthiban dan Letchuman didakwa melakukan kesalahan sama iaitu memiliki 706 liter minyak diesel dalam sebuah lori di lokasi, masa dan tarikh yang sama.
Pertuduhan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) akta sama, yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, dan untuk kesalahan kedua atau seterusnya boleh didenda sehingga RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Shafiq Mahadi manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Tunku Nor Farhana Asheila Tunku Amiruddin.
Mahkamah membenarkan Kesavan dan Parthiban masing-masing diikat jamin RM9,000 dan RM8,000 dengan seorang penjamin manakala Lechuman diikat jamin RM17,000.
Mereka juga dikehendaki menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan. -Bernama