Tahun kedua terima BAP RM150, penerima zahir kelegaan

Tahun kedua terima BAP RM150, penerima zahir kelegaan

PUTRAJAYA: Bagi sesetengah individu, pemberian RM150 menerusi Bantuan Awal Persekolahan (BAP) mungkin merupakan jumlah yang sedikit namun bagi penerima, bantuan kerajaan itu cukup bermakna apabila ia sedikit sebanyak membantu mereka menyediakan kelengkapan persekolahan anak.

S.Nithyadevi yang bekerja sebagai jururawat di sebuah hospital kerajaan di selatan tanah air ketika dihubungi Bernama berkata tahun ini merupakan tahun kedua anak sulungnya berusia lapan tahun menikmati inisiatif kerajaan itu menerusi BAP.

“Saya seorang daripada rakyat Malaysia yang menerima bantuan kerajaan MADANI iaitu BAP dan bayaran RM2,000 untuk penjawat awam (Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam).

“Bantuan sebegini sangat menyenangkan, sebagai ibu tunggal ia membantu dalam membeli alat kelengkapan sekolah. Ia bukan soal tidak mampu berbelanja demi anak tanpa BAP, namun sebagai pencari rezeki tunggal bagi keluarga kecil saya, bantuan ini memang bermakna untuk saya,” kata ibu dua anak itu.

BAP sebanyak RM150 kepada setiap murid disalurkan bermula bulan lepas sama ada secara tunai atau kredit ke akaun masing-masing.

Senada dengan Nithyadevi, seorang suri rumah dari Kajang, B. Prema turut berpendapat bantuan itu dapat digunakan sepenuhnya untuk membeli buku tambahan bagi dua anak jagaannya yang bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang West Country Barat.

“Ibu bapa kandung dua anak jagaan saya merupakan keluarga susah, jadi saya dan suami menjaga kedua-dua anak lelaki ini yang sekarang berumur enam dan 12 tahun sejak mereka bayi lagi.

“Saya tidak bekerja dan suami hanya pemandu lori, BAP sememangnya amat membantu dan bantuan itu dikhususkan untuk beli buku dan beg sekolah. Mungkin kerajaan boleh mempertimbangkan untuk menambah jumlah bantuan BAP ke RM200 atau RM250,” katanya yang berusia 50 tahun.

Selain BAP, Skim Perubatan MADANI juga merupakan inisiatif kerajaan bagi menampung keperluan kesihatan golongan B40, yang ditawarkan secara automatik kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dengan membantu menampung kos rawatan ringan di klinik swasta berdekatan tanpa sebarang caj.

Eksekutif pemasaran di Manjung, Perak M. Khaviarsan berkata pada mulanya beliau tidak mengetahui mengenai skim perubatan itu sehingga diberitahu oleh rakan ibunya untuk menyemak kelayakan.

“Selepas itu, saya mula mencari info berkaitan di Internet dan setelah disemak, ibu saya yang berumur 66 tahun layak menerima manfaat RM125 dan sehingga kini telah menggunakan khidmat klinik swasta dua kali menerusi skim itu.

“Namun saya rasa penggunaan borang sekarang mungkin boleh digantikan denga cara mudah khususnya bagi warga emas, manakala jumlah RM125 itu boleh ditingkatkan,“ katanya sambil menambah lebih banyak promosi perlu dilakukan bagi menyebar luas skim itu. -Bernama

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *