Ketua Perangkawan: Penerimaan masyarakat terhadap PADU semakin baik

Ketua Perangkawan: Penerimaan masyarakat terhadap PADU semakin baik

KUANTAN: Penerimaan masyarakat terhadap perlaksanaan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) kini dilihat bertambah baik, kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Beliau berkata sehingga semalam seramai 2.82 juta individu telah mengemas kini maklumat menerusi sistem berkenaan sejak ia dilancarkan pada 2 Jan lepas dan pihaknya giat melaksanakan program turun padang bagi memberikan penerangan serta kefahaman kepada masyarakat.

“Penerimaan semakin baik dan meningkat, bila kita turun padang orang ramai mengalu-alukan…mereka mengetahui tidak ada satu perkara yang dilakukan oleh kerajaan untuk menyebabkan perkara tidak baik kepada rakyat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui ketika hadir memberikan taklimat mengenai PADU kepada jemaah solat Jumaat Masjid Tepian Putra di sini yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Pahang Razaman Ridzuan.

Bagi Pahang, seramai 148,422 individu telah mengemas kini maklumat sistem PADU setakat semalam dan sehingga hari ini sebanyak 167 kaunter fizikal telah dibuka di beberapa lokasi antaranya di Pusat Ekonomi Digital (PEDi), Pejabat Daerah dan Tanah, Pihak Berkuasa Tempatan serta masjid.

Selain itu, DOSM Pahang turut melaksanakan lebih 700 sesi turun padang bagi menyampaikan maklumat dan membantu penduduk Pahang mengemas kini maklumat menerusi sistem PADU selain turut mengadakan kerjasama dengan pejabat Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata antara cabaran yang dihadapi dalam melaksanakan sistem ini ialah memberi kefahaman kepada masyarakat mengenai kepentingan dan manfaat PADU, bagaimanapun pihaknya komited untuk melaksanakannya.

“Bagi tempoh jangka panjang, data ini memang diperlukan oleh sesebuah negara maju supaya maklumat semasa rakyat dapat diketahui bagi kerajaan uruskan sumber dengan cekap,” jelasnya.

Menyentuh aspek keselamatan sistem tersebut, beliau berkata isu keselamatan adalah perkara yang sangat penting dalam pembangunan PADU dengan tiga elemen utama jaminan keselamatan telah diambil kira iaitu aspek keselamatan data, sistem dan rangkaian.

“Bagi sistem negara faktor keselamatan ialah paling utama, kita tak ada satu usaha dibuat sewenang-wenangnya bagi mendatangkan perkara tidak baik kepada rakyat, dalam menguruskan data, keselamatan dan penjagaan supaya tidak dicerobohi adalah satu perkara penting,” kata Mohd Uzir.

Sebagai contoh bagi memastikan kerahsiaan data terjamin, lapisan Kawalan Akses Capaian Data (RBAC) telah diwujudkan selain data yang terkandung dalam PADU juga dilindungi dengan Penyulitan data menyeluruh.

Selain itu, untuk memastikan hanya individu sebenar yang boleh mendaftar atau masuk (log in) ke sistem PADU, pengesahan pelbagai faktor (MFA) turut digunakan bagi kawalan capaian kepada sistem PADU.

Katanya agensi utama antaranya CyberSecurity, Agensi Keselamatan Siber Negara turut terlibat dalam memelihara dan menjamin keselamatan data sistem ini. -Bernama

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *