RM5 juta untuk Jualan Kasih Johor – Onn Hafiz

RM5 juta untuk Jualan Kasih Johor – Onn Hafiz

JOHOR BAHRU: Johor memperuntukkan RM5 juta bagi program Jualan Kasih Johor (KASIH) di 300 lokasi di seluruh negeri sepanjang tahun ini.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata inisiatif itu bertujuan membantu meringankan kos sara hidup rakyat terutamanya golongan B40 dan M40 bagi mendapatkan barangan asas dan keperluan harian.

Beliau berkata program berkenaan dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 800,000 orang menerusi kaedah pengurangan harga bagi produk makanan terpilih seperti ayam, telur, minyak masak dan ikan.

Menurut Onn Hafiz jualan itu telah dimulakan di 30 lokasi di seluruh negeri hari ini.

“…insya-Allah kita akan mengembangkannya dalam musim-musim perayaan yang akan datang. Sampai akhir tahun akan ada 300 lokasi penjualan KASIH dengan peruntukan keseluruhan RM5 juta tetapi untuk perayaan Tahun Baru Cina ini saja melibatkan peruntukkan RM1.3 juta,“ katanya kepada pemberita selepas merasmikan KASIH di Taman Johor, Kempas di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri Datuk Zahari Sarip dan Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Aminuddin Zulkifli.

Beliau berkata KASIH, yang merupakan kerjasama antara kerajaan negeri dengan FAMA, menyediakan 540 tan metrik ayam, 108 tan metrik ikan, 135,000 papan pelbagai gred telur ayam dan 60,000 botol minyak masak untuk dijual kepada rakyat. – Bernama

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *