Felda sasar perkukuh ekonomi kitaran sebagai satu potensi jana hasil baharu

Felda sasar perkukuh ekonomi kitaran sebagai satu potensi jana hasil baharu

KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sedang mengkaji untuk membangunkan lebih banyak ekonomi kitaran yang berpotensi menjadi asas pendekatan baharu dalam mengukuhkan hasil agensi berkenaan, kata Pengerusinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (gambar).

Beliau berkata bagi melaksanakan pendekatan tersebut Felda akan berbincang lebih lanjut mengenainya bersama Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Konsep ekonomi kitaran merupakan konsep guna, pulang dan cipta semula untuk memaksimumkan penggunaan dan hasil.

Sementara itu Ahmad Shabery berkata bagi mengurangkan kebergantungan pada jagung dan kacang soya sebagai sumber makanan ternakan, Felda telah mewujudkan kerjasama berkenaan lalat askar hitam atau black soldier fly (BSF) yang mengandungi protein tinggi sebagai alternatif makanan ternakan.

Semalam, Felda dan Abeco Nature Science Sdn Bhd memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) penyelidikan bagi meningkatkan pengeluaran peptida antimikrob (AMP) dan protein dalam larva BSF yang berpotensi menjadi penyelesaian makanan ternakan bercirikan antimikrob dan tahap nutrisi tinggi bagi menyumbang kepada sektor ternakan dan akuakultur yang mampan.

“Sekiranya BSF ini boleh dibiakkan, ia boleh dijadikan asas kepada pengubahan dedak baharu untuk makanan ayam dan sebagainya,“ katanya pada sidang media sempena Simposium Felda 2024, hari ini.

Ahmad Shabery berkata Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 200,000 hektar kawasan penanaman jagung bagi memenuhi keperluan makanan ternakan negara.

“Itu lebih besar daripada kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Kedah dan Perlis. Tak mungkin kita ada tanah yang begitu luas untuk menghasilkan jagung bagi makanan ternakan.

“Oleh itu, menerusi sistem ekonomi kitaran, kita ada sumber baharu untuk menghasilkan makanan ternakan yang sepatutnya kita dapat hasilkan. Ini antara perkara yang boleh kita kemukakan dalam sistem baharu ataupun pendekatan baharu dalam menguruskan ekonomi,“ katanya.

Selain itu, katanya, Felda juga melihat potensi untuk membangunkan bidang biojisim dengan lebih mendalam lagi.

“Biojisim boleh kita tukar menjadi baja dan sumber tenaga. Dan ini sepatutnya mesti dinilai juga. Ini adalah pendapatan baharu yang mesti difikirkan bersama,“ katanya. -Bernama

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *