Pengarah syarikat rugi lebih RM11 juta diperdaya skim pelaburan mata wang kripto

Pengarah syarikat rugi lebih RM11 juta diperdaya skim pelaburan mata wang kripto

KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat kerugian RM11,130,123 selepas terpedaya dengan skim pelaburan mata wang kripto ‘ACCERX’ yang diiklankan di laman Facebook pada September lepas.

Timbalan Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Rohaimi Md Isa berkata kerugian itu merupakan yang terbesar setakat ini melibatkan individu dalam kes membabitkan skim pelaburan berkenaan.

“Lelaki berusia 60 tahun itu membuat laporan pada 30 Jan lepas di sebuah balai polis di Sentul dan berikutan itu, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,“ menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sejak November lepas, polis telah menerima 124 laporan daripada mangsa penipuan pelaburan itu di seluruh negara melibatkan kerugian keseluruhan berjumlah RM90,364,463.08.

Hasil siasatan, polis mengenal pasti 73 syarikat, 83 akaun bank milik syarikat dan perniagaan serta satu akaun bank individu yang digunakan dalam penipuan ini.

Pada masa sama, Rohaimi menasihati mana-mana individu yang mungkin masih berurusan dengan skim pelaburan ini untuk menghentikan perkara itu dan membuat laporan di balai polis berhampiran untuk mengelak daripada menjadi mangsa.

Orang ramai yang ingin membuat pelaburan dalam urus niaga mata wang kripto juga dinasihat membuat semakan kesahihan perkhidmatan itu sebelum berbuat demikian. -Bernama

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *