1,100 penduduk Bandar Tun Razak terima sumbangan sempena Tahun Baharu Cina

1,100 penduduk Bandar Tun Razak terima sumbangan sempena Tahun Baharu Cina

KUALA LUMPUR: Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak hari ini menyerahkan bantuan RM100 dan sekotak limau Mandarin kepada 1,100 penduduk bangsa Tionghua terutamanya warga emas di kawasan Parlimen itu menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, minggu depan.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu di sini, Dr Wan Azizah berkata sumbangan itu bertujuan meringankan beban kos sara hidup golongan yang amat memerlukan, terutamanya miskin bandar yang menetap di Bandar Tun Razak.

“Bandar Tun Razak memang ramai yang miskin bandar, ditambah dengan bilangan warga emas yang agak tinggi, jadi kita cuba agar jangan tinggalkan seseorang pun (daripada menerima bantuan).

“Penduduk yang menerima sumbangan hari ini telah dikenal pasti sebagai antara yang amat memerlukan bantuan, kita nak ringankan sedikit beban (kos sara hidup) mereka sempena Tahun Baharu Cina yang akan disambut tidak lama lagi,“ katanya.

Turut hadir Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri merangkap Ketua PKR Cabang Bandar Tun Razak Datuk Azman Abidin.

Terdahulu Wan Azizah dalam ucapannya berkata Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak akan terus melaksanakan usaha membantu semua komuniti di kawasan tersebut.

“Semoga sumbangan ini dapat memberi keceriaan kepada komuniti Cina di Bandar Tun Razak khususnya,“ katanya. – Bernama

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *