REMBAU: Penjawat awam secara kolektif perlu bertindak sebagai penggerak dan ejen utama dalam menyebarluaskan konsep Malaysia Madani bagi memastikan rakyat dapat memahami sekali gus menjayakan agenda itu di peringkat negeri dan nasional.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun (gambar) berkata menerusi Program Penggerak Madani peringkat negeri, ketua-ketua jabatan kerajaan negeri dan Persekutuan dapat berfikir secara strategik serta menghasilkan nilai karamah insaniah yang tinggi dan berdaya saing dalam persekitaran organisasi masing-masing.
“Hasrat kami agar peserta dapat memperkukuhkan kefahaman berkaitan Malaysia Madani dan hubung kaitnya dalam dasar perancangan negeri dan negara serta pelaksanaannya.
“Agenda pembudayaan Madani ini telah bermula sejak September tahun lepas mengikut kumpulan sasar yang ditetapkan…ia bermula dengan Kem Generasi Madani melibatkan pelajar Tingkatan 4 dari seluruh negeri ini,” katanya ketika berucap pada Program Penggerak Madani Negeri Sembilan (Ketua-Ketua Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan) di Kem Wawasan Negara Ulu Sepri di sini hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir merasmikan program itu yang disertai 120 penjawat awam negeri dan Persekutuan.
Aminuddin berkata setakat ini tiga kohort dengan sebanyak 360 pelajar Tingkatan 4 terlibat dalam program ini yang dijalankan di Kem Pusako, Batu Kikir, selain Program Pembinaan Karakter Bangsa yang melibatkan pelajar prauniversiti (Tingkatan 6).
Beliau berkata menerusi belanjawan tahun ini, kerajaan negeri juga memperuntukan RM500,000 untuk program Pembangunan Karakter Bangsa.
“Kumpulan sasar seterusnya adalah petugas kerajaan. Kita telah berjaya melaksanakan Program Penggerak Madani Siri-1 dengan melibatkan 120 peserta dalam kalangan warga kerajaan Negeri Sembilan gred 44 hingga gred 52 pada 13-15 Dis lepas,” katanya.
Beliau berkata usaha itu adalah tindakan proaktif dijalankan oleh kerajaan negeri bagi mendokong agenda pembudayaan Madani di peringkat negeri. -Bernama