Agong, Raja Permaisuri zahir penghargaan kepada warga Istana Negara

Agong, Raja Permaisuri zahir penghargaan kepada warga Istana Negara

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh warga Istana Negara yang berkhidmat dengan cemerlang sepanjang lima tahun tempoh pemerintahan baginda.

Menurut hantaran di Facebook Istana Negara hari ini, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah menzahirkan penghargaan itu pada program Malam 1000 Kenangan di Istana Negara pada Jumaat lepas.

Keberangkatan Seri Paduka berdua ke program itu diiringi paduka-paduka anakanda.

Program anjuran warga Istana Negara di bawah kelolaan Datuk Paduka Maharaja Lela Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini itu adalah hadiah istimewa khas buat Seri Paduka berdua sempena tamat tempoh pemerintahan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Jan ini.

Pada program itu, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut berkongsi pengalaman manis lima tahun bersemayam di Istana Negara serta sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong selain berkenan mendendangkan empat lagu.

Pegawai dan warga Istana Negara pula mempersembah bakat terpendam masing-masing menerusi pelbagai persembahan sketsa, nyanyian dan tarian.

Di penghujung program, Seri Paduka berdua dipersembah tayangan video khas dan persembahan kilat berkumpulan atau flash mob oleh seluruh warga Istana Negara diikuti nyanyian lagu patriotik Setia. – Bernama

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *