MELAKA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka mengeluarkan 275 notis membabitkan pelbagai kesalahan di samping menyita tiga kenderaan, dalam operasi bersepadu (Op Bersepadu) di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dekat Paya Rumput di sini malam tadi.
Pengarahnya Muhammad Firdaus Shariff berkata kesalahan paling dikesan ialah berkaitan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada insurans 142 notis, selain tiada lesen memandu (73 notis), kesalahan teknikal (21 notis) dan lain-lain kesalahan (20 notis).
“Pada operasi ini 755 kenderaan diperiksa dan 132 kenderaan diambil tindakan bagi pelbagai kesalahan membabitkan 118 kenderaan persendirian, 13 kenderaan barangan dan satu kenderaan perkhidmatan awam.
“Tiga kenderaan yang disita dikenal pasti melakukan kesalahan tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh atau tiada cukai jalan dan tiada perlindungan insuran,“ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut Muhammad Firdaus Sharif berkata operasi itu melibatkan 50 pegawai dan anggota JPJ, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) (lapan orang), Jabatan Imigresen (18 orang) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) (10 orang).–Bernama
