Tujuh jalan sekitar Batu Caves ditutup sempena Thaipusam

Tujuh jalan sekitar Batu Caves ditutup sempena Thaipusam

KUALA LUMPUR: Tujuh jalan sekitar Batu Caves, Selangor ditutup bermula 10 malam ini hingga Sabtu sempena sambutan Thaipusam.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata ia dilaksanakan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas susulan dua juta pengunjung dijangka mengunjungi Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves sepanjang tempoh perayaan itu.

Beliau berkata laluan itu melibatkan simpang tiga Jalan Bunga Raya menghala ke Jalan Batu Caves, lampu isyarat Jalan Stesen (Pintasan Batu Caves), susur dari arah bulatan Batu Caves (MRR2) menghala ke Kuil Batu Caves dan susur dari arah Gombak (MRR2) menghala ke Kuil Batu Caves.

Selain itu, simpang tiga Jalan SBC8 / Jalan Lama Batu Caves, Jalan Perusahaan menghala ke kuil Batu Caves dan simpang tiga lampu isyarat Sri Batu Caves menghala keluar ke MRR2.

“Pengunjung dinasihatkan merancang perjalanan dan menggunakan laluan alternatif (menghala ke Batu Caves) selain meletakkan kenderaan di tempat yang dibenarkan.

“Orang ramai juga digalakkan menggunakan perkhidmatan awam susulan tambang percuma Rapid KL dan tren komuter bermula 24 hingga 25 Jan ini seperti diumumkan kerajaan,“ katanya pada sidang media khas di Batu Caves hari ini.

Hussein berkata 1,600 pegawai dan anggota ditugaskan bagi memastikan kelancaran sambutan serta keselamatan orang ramai, selain beberapa pusat kawalan statik disediakan bagi memudahkan pengunjung mendapatkan perkhidmatan dan membuat laporan polis.

Dalam pada itu, menurut Hussein penggunaan dron di kawasan kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves ketika tempoh sambutan Thaipusam oleh mana-mana pihak adalah dilarang sama sekali.

“Anggota polis akan berada di tempat yang dijadualkan dan memantau keadaan dari semasa ke semasa…sebarang aktiviti yang menghalang lalu lintas atau mengadakan perhimpunan yang melanggar undang-undang akan dikenakan tindakan,“ katanya. – Bernama

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *