Johor sumbang 8,000 kit ujian pengesanan awal kanser serviks

Johor sumbang 8,000 kit ujian pengesanan awal kanser serviks

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) akan menyumbangkan sebanyak 8,000 kit ujian pengesanan awal kanser serviks kepada golongan wanita di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri Ling Tian Soon berkata ia antara usaha kerajaan negeri bagi menggalakkan golongan wanita melakukan pengesanan awal, sekali gus meningkatkan kesedaran mereka terhadap kepentingan mencegah kanser serviks.

Beliau berkata kit ujian pengesanan itu antaranya akan diberikan melalui klinik bergerak ke setiap 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor yang dijangka hujung bulan ini.

“Klinik bergerak ini akan ke setiap 56 kawasan DUN untuk memberi peluang kepada mereka, khususnya yang berada di luar bandar menjalani saringan kesihatan serta mendapatkan khidmat kaunseling.

“Golongan wanita tahu wujudnya kanser serviks ini, tetapi kita percaya ada antara mereka yang tidak ada kesedaran, malah ada yang malu untuk jalankan ujian dengan pihak hospital, jadi usaha ini sebagai satu program permulaan kita beri percuma kepada golongan sasar (wanita) untuk bantu tampil ke hadapan dan buat saringan,“ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Menuju Ke Arah Dunia Bebas Daripada Kanser Serviks’ di antara Hospital Gleneagles Johor dan Yayasan ROSE, bersempena Kempen Bulan Kesedaran Kanser Serviks di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Gleneagles Johor (GHJ) Dr Kamal Amzan dan Pengerusi Yayasan ROSE Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman.

Sementara itu, Dr Kamal berkata GHJ turut menyumbangkan sebanyak 1,500 kit ujian pengesanan awal kanser serviks kepada Yayasan ROSE untuk diberikan kepada golongan wanita di Johor.

“Usaha kerjasama (dengan Yayasan ROSE) ini bukan sahaja menekankan dedikasi GHJ terhadap pengesanan awal dan strategi pencegahan kanser serviks, tetapi juga meningkatkan kesedaran orang ramai tentang isu kesihatan ini,” katanya. – Bernama

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *